Pantai belum dibersih sepenuhnya, Hunny Madu gesa tindakan tegas

Hunny Madu
Hunny Madu
A
A
A

PENYANYI dan pengacara, Hunny Madu berkongsi khabar gembira apabila kawasan Pantai Bisikan Bayu di Pantai Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan sudah dibersihkan oleh Majlis Daerah Pasir Puteh baru-baru ini.

Menurut Hunny atau nama sebenarnya Hani Farhana Mohd Hatim, dia dimaklumkan rungutannya tentang tahap kebersihan kawasan tumpuan pelancong didengari pihak berwajib dan tindakan sewajarnya telah diambil.

"Saya membuat carian dan dapat tahu menerusi Facebook Majlis Daerah Pasir Puteh bahawa mereka telah melakukan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membersihkan kawasan pantai Tok Bali bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) awal Jun lalu selepas perkongsian saya mengenai kawasan itu yang dipenuhi sampah sarap pada awal Mei.

"Saya ucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat," katanya menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya.

Bagaimanapun tambah Hunny, kawasan itu belum dibersihkan sepenuhnya kerana melibatkan banyak kawasan persendirian,

Justeru wanita berusia 39 tahun itu menggesa pihak kerajaan negeri mengenakan tindakan tegas terhadap pemilik tanah persendirian yang gagal menjaga kawasan mereka dengan baik sehingga menyebabkan pencemaran.

"Berita buruknya, walaupun beberapa kawasan di Pantai Bisikan Bayu sudah dibersihkan, difahamkan kebanyakan kawasan itu adalah milik peribadi dan masih kotor.

"Saya sarankan pihak kerajaan negeri Kelantan ambil tindakan terhadap mereka. Tolong saman mereka supaya mereka bersihkan kawasan itu untuk pastikan keindahan alam terpelihara. Itu sahaja," luahnya.

Sementara itu, menerusi hantaran di Instastory miliknya, Hunny turut berkongsi keadaan di sekitar Tok Bali yang masih kotor dua minggu lalu.

Terdahulu pada awal Mei lalu, Hunny meluahkan rasa terkejut dan kecewa dengan tahap kebersihan Pantai Tok Bali terutamanya di kawasan Pantai Bisikan Bayu yang dipenuhi sampah-sarap dan tidak dijaga dengan sewajarnya biarpun ia adalah tempat tumpuan pelancong.