PH-BN hanya perlu enam hingga tujuh peratus sokongan, menang PRN Kedah

Mahfuz
Mahfuz
A
A
A

ALOR SETAR - Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) hanya perlu meraih sekitar enam hingga tujuh peratus sokongan pengundi Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk menang di 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah nanti.

Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, sekiraya sokongan undi meningkat sehingga 10 peratus parti gabungan terbabit berpeluang menawan serta mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.

"Saya yakin jika campur undi BN dan PH pada PRU lalu, kita hanya perlu membawa balik undi-undi yang lari dari BN dan PH hanya sekitar dalam enam hingga tujuh peratus sahaja.

"Itu kalau kita dapat bawa balik enam hingga tujuh peratus, tapi kalau naik sampai 10 peratus saya percaya kita mampu untuk memenangi untuk tubuh kerajaan negeri," katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Pimpinan Negeri BN-PH di sini pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengesahkan bahawa perbincangan mengenai calon yang akan diketengahkan kedua-dua parti berkenaan sudah selesai dan akan diumumkan sebelum tarikh penamaan calon PRN.

Katanya, isu berbangkit termasuk isu pertindihan kerusi sudah diselesaikan dalam rundingan yang berlangsung membabitkan BN-PH.

"Kita sudah selesai berkaitan calon, jadi itu kita sudah ada nama dan tunggu masanya kita akan umumkan. Insya-ALLAH sebelum daripada tarikh penamaan calon yang akan ditetapkan SPR nanti kita akan umum calon-calon," katanya.

Ketika mengulas mengenai kerusi DUN Suka Menanti yang didakwa menjadi rebutan antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan UMNO, Mahdzir berkata tidak berlaku sebarang rebutan sebaliknya mereka bermesyuarat untuk menentukannya.