'Mahu pulang pakai baju putih, petanda adik tinggalkan kami'

Ramlah (kiri) dan kakak mangsa di HRPZ II.
Ramlah (kiri) dan kakak mangsa di HRPZ II.
A
A
A

KOTA BHARU - Wanita yang maut disyaki ditikam bekas suami dalam kejadian awal pagi Ahad pernah memberitahu keluarganya mahu pulang dengan memakai baju putih.

Kakak mangsa yang berusia 40-an berkata, adiknya, Rokiah Ayub, 42, pulang ke kampung untuk menghadiri kenduri pada Jumaat.

"Dia memberitahu bahawa mahu pulang ke rumah ibunya di Kampung Apal, Besut, Terengganu selepas ini dengan memakai baju warna putih," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini pada Ahad.

Menurut kakak Rokiah lagi, adiknya juga memberitahu tidak mahu bergambar dengannya lagi selepas ini selepas arwah bersungguh-sungguh mengajaknya bergambar kenangan apabila mereka sepakat memakai baju warna hijau pada hari itu.

"Kami memang tidak menyangka tindakannya itu petanda terakhir adik akan pergi meninggalkan kami," katanya.

Jelasnya, Rokiah yang juga anak bongsu daripada tiga beradik sebelum ini tinggal di Kuala Lumpur sebelum pulang ke kampung beberapa bulan lalu dan berniaga air di Pasir Tumboh.

Sementara itu, ibu mangsa, Ramlah Mamat, 76, menyifatkan Rokiah seorang anak yang baik dan peramah.

Difahamkan, jenazah mangsa akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Besut, Terengganu untuk dikebumikan di sana.

Sebelum ini media melaporkan seorang wanita yang juga peniaga air balang maut dipercayai ditikam bekas suaminya di sebuah rumah di Taman Desa Darulnaim, Pasir Tumboh awal pagi Ahad.

Lelaki berkenaan turut cedera di perut dan dikejarkan ke HRPZ II untuk rawatan lanjut