Pelajar IPG sudah terima elaun sara hidup - Ahmad

Ahmad (depan) bertemu dengan kakitangan Jabatan Penilaian dan Perkhimatan Harta (JPPH) Johor pada Ahad.
Ahmad (depan) bertemu dengan kakitangan Jabatan Penilaian dan Perkhimatan Harta (JPPH) Johor pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) tidak memperoleh inisiatif eBeliaRahmah kerana mereka telah menerima elaun sara hidup sebanyak RM450 sebulan.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, dakwaan pelajar IPG dianaktirikan daripada menerima eBeliaRahmah tidak benar.

Tegasnya, ahli politik yang membuat tuduhan tersebut perlu menyemak fakta berhubung pelajar IPG telah mendapat elaun.

"Pelajar IPG tidak dapat eBeliaRahmah kerana mereka sudah pun diberikan elaun yang disediakan kerajaan.

"Berbeza dengan belia berusia 18 hingga 20 tahun dan penuntut Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) mereka tidak terima elaun RM450 sebulan.

"Saya harap ahli politik yang berkenaan menyemak fakta bahawa pelajar IPG dapat lebih daripada yang lain melalui elaun bulanan yang disediakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan Jabatan Penilaian dan Perkhimatan Harta (JPPH) Johor di sini, pada Ahad.

AHMAD MASLAN
AHMAD MASLAN

Ahmad memberitahu seramai 2 juta belia dan berumur 18 hingga 20 tahun atau pelajar sepenuh masa di IPT layak menerima kredit berjumlah RM200 melalui pelbagai platform e-Dompet mulai 26 Jun lalu.

Jelasnya, kerajaan memperuntukkan RM400 juta bagi program eBeliaRahmah di bawah Belanjawan 2023.

Sebelum itu, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan mengapa pelajar IPG dianaktirikan daripada mendapat manfaat inisiatif eBeliaRahmah

Ahli Parlimen Muar itu menyifatkan perkara tersebut tidak adil, sedangkan mereka juga pelajar sepenuh masa sama seperti penuntut IPT yang lain.