FAM, MAG jalin lanjutan kerjasama sehingga 2026

Hamidin (berdiri; tiga dari kiri) menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian lanjutan penajaan antara Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman (duduk, kiri) dan Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan MAG, Lau Yin May (duduk, kanan) selepas Kongres Tahunan FAM Ke-59, 2023 hari ini. - Foto Bernama
Hamidin (berdiri; tiga dari kiri) menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian lanjutan penajaan antara Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman (duduk, kiri) dan Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan MAG, Lau Yin May (duduk, kanan) selepas Kongres Tahunan FAM Ke-59, 2023 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan lanjutan kerjasama dengan syarikat induk Malaysia Airlines Berhad (MAB) iaitu Malaysia Aviation Group Berhad (MAG) untuk tempoh tiga tahun bermula Januari 2024 hingga Disember 2026.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, kehadiran Malaysia Airlines sebagai rakan penerbangan rasmi sejak 2019 telah banyak menyumbang kepada kejayaan-kejayaan yang telah diraih oleh skuad Harimau Malaya.

"Mewakili barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM serta seluruh tenaga kerja FAM, kami amat berbesar hati di atas lanjutan kerjasama bersama MAG ini di mana organisasi penerbangan terbesar di negara ini terus memberi kepercayaan kepada jenama Harimau Malaya.

“Hubungan baik di antara FAM dan MAG sejak lima tahun lalu memberi satu mesej penting kepada penyokong-penyokong skuad kebangsaan di luar sana bahawa FAM bukan sahaja mampu memberikan nilai tambah kepada barisan penaja-penajanya malah dapat memberi impak yang positif terhadap sektor ekonomi negara.

“Tanpa MAG, visi FAM untuk melihat Harimau Malaya terbang jauh sudah tentu tidak akan kesampaian. Semoga hubungan strategik ini terus membawa nama FAM serta MAG di pentas antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Untuk rekod, usaha sama itu sebagai lanjutan berikutan perjanjian sedia ada selama tiga tahun sebelum ini bakal berakhir pada 31 Disember tahun ini.

Majlis pembaharuan kerjasama kali ketiga bersama MAG itu telah dilangsungkan di sebuah hotel di Petaling Jaya sejurus selepas Kongres Tahunan Ke-59 FAM berakhir pada Sabtu.

Dokumen perjanjian penajaan FAM bersama MAG telah ditandatangani oleh Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman dan Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan MAG, Lau Yin May, disaksikan oleh Hamidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAG, Ahmad Luqman Mohd Azmi.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Kapten Izham Ismail turut berkongsi rasa teruja beliau di atas lanjutan kerjasama bersama FAM.

"Kami amat berbesar hati apabila pihak FAM terus memberi kepercayaan kepada jenama syarikat penerbangan kebangsaan, Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan rasmi skuad bola sepak negara ketika bertanding dan berjuang di persada antarabangsa.

"Sejajar dengan tanggungjawab kami sebagai pembawa bendera negara ke seluruh pelusuk dunia, kami ingin terus mara bersama-sama dengan FAM dan memainkan peranan kami dalam menaikkan mutu dan nilai sukan bola sepak ke persada dunia melalui layanan mesra Malaysian Hospitality.

"Dalam masa yang sama, kami berharap sumbangan kecil kami dalam menyediakan pesawat Airbus A330 dengan liveri khas Harimau Malaya dapat membangkitkan lagi semangat para pemain apabila bertanding di pelbagai kejohanan antarabangsa," katanya.