PRN: Anthony sedia bantu Tok Mat kempen di Rantau

Anthony ketika bertemu para pengamal media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Negeri DAP di Ibu Pejabat DAP, Seremban hari ini. - Foto Bernama
Anthony ketika bertemu para pengamal media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Negeri DAP di Ibu Pejabat DAP, Seremban hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook bersedia turun berkempen untuk Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi memastikan kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Beliau berkata, komitmen sama turut dizahirkan kepada calon-calon Barisan Nasional (BN) lain bagi menunjukkan kerjasama jitu dalam Kerajaan Perpaduan.

"Saya secara peribadi telah sampaikan kepada Tok Mat beberapa hari lalu yang saya tawarkan akan turun berkempen di Rantau untuk membantunya.

"Saya juga alu-alukan kehadiran beliau dan pemimpin lain bagi kawasan kita juga. Jadi ini satu semangat yang kita nak ambil dalam PRN kali ini berdasarkan kepada semangat Kerajaan Perpaduan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Negeri DAP di Pejabat DAP Negeri Sembilan di sini pada Sabtu.

Anthony (kanan) selepas pengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Negeri DAP di Ibu Pejabat DAP, Seremban hari ini.
Anthony (kanan) selepas pengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Negeri DAP di Ibu Pejabat DAP, Seremban hari ini.

Jelasnya, DAP bukan saja mahu memastikan kemenangan calon yang mewakili Pakatan Harapan (PH) tetapi juga dari BN.

Ditanya bagaimana penerimaan jentera DAP Negeri Sembilan terhadap Kerajaan Perpaduan setakat ini, Ahli Parlimen Seremban itu berkata, mereka memahami dan menerimanya dengan baik.

"Setakat ini tiada suara atau persoalan kepada kita kerjasama dengan pihak BN. Saya tak pernah ditanya pun mengapa parti buat keputusan itu.

"Tapi saya sentiasa beri pandangan dan penerangan. Saya juga menaruh keyakinan UMNO beri penjelasan yang baik kepada akar umbi mereka," katanya.

Selain itu, beliau menyatakan keyakinan pengundi Negeri Sembilan boleh menerima Kerajaan Perpaduan di negeri ini.

Tambahnya, gabungan PH dan BN untuk mentadbir kerajaan negeri mampu membawa Negeri Sembilan kepada satu tahap lebih tinggi.

"Dua gabungan ini ada pengalaman cukup luas untuk mentadbir Negeri Sembilan.

"BN dah lama mentadbir negeri ini dan PH pula dalam tempoh lima tahun lalu menunjukkan prestasi terbaik.

"Dengan gandingan kita (PH) dengan BN yang ada pengalaman lama di Negeri Sembilan, saya yakin ini berikan keyakinan kepada rakyat," katanya.