PRN: DAP akan tampil beberapa muka baharu

Anthony Loke (tengah) pada sidang akhbar di Pejabat DAP Negeri Sembilan
Anthony Loke (tengah) pada sidang akhbar di Pejabat DAP Negeri Sembilan
A
A
A

SEREMBAN - DAP Negeri Sembilan akan menampilkan beberapa muka baharu sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri ini tidak lama lagi.

Pengerusinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, ada beberapa penyandang yang mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14(PRU14) tidak akan dicalonkan semula.

"Saya dah nyatakan pada jawatankuasa negeri tadi, saya hargai setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kita yang menunjukkan kesetiaan tinggi serta setia kepada perjuangan dan mandat rakyat.

"Tapi mana-mana pilihan raya mesti ada proses perubahan supaya ada muka-muka baharu. Jadi bukan semua penyandang akan dicalonkan semula," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Negeri DAP di Pejabat DAP Negeri Sembilan di sini pada Sabtu.

Bagaimanapun katanya, itu bukan bermakna penyandang yang tidak dicalonkan pada PRN kali ini tidak menunjukkan prestasi yang baik.

Jelas Anthony, berapa jumlah muka baharu itu belum lagi diputuskan dan kini masih dalam proses penilaian memandangkan soal pembahagian kerusi masih belum dimuktamadkan.

"DUN (Negeri Sembilan) baharu bubar hari ini, lepas bubar DUN ada banyak proses dan kita ada beberapa minggu lagi untuk buat keputusan dan ia akan dibuat mengikut proses.

"Proses rundingan masih berjalan untuk muktamadkan kerusi dan apabila dimuktamadkan, kita akan tahu kerusi yang akan ditandingi dan dari situ kita akan tentukan calon,"katanya.

Beliau juga berkata, bersedia beri laluan kerusi DUN Chennah yang disandang ketika ini sekiranya diminta berbuat demikian.

Pada PRU14, daripada 36 kerusi DUN di Negeri Sembilan, PH memenangi 20 kerusi yang 11 daripadanya milik DAP.

Baki 16 kerusi dalam DUN Negeri Sembilan pula dimenangi oleh BN.