Rindu terubat lihat tiga juta jemaah tunaikan haji musim ini

Abdul Hadi (dua dari kiri) bersama beberapa jemaah yang mengerjakan ibadah haji pada musim kali ini.
Abdul Hadi (dua dari kiri) bersama beberapa jemaah yang mengerjakan ibadah haji pada musim kali ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Rasa rindu seorang mutawif haji untuk melihat Tanah Suci Makkah kembali dibanjiri jutaan umat Islam terubat pada musim haji kali ini apabila dapat menyaksikan sendiri lebih tiga juta jemaah menunaikan ibadah itu.

Abdul Hadi Abdul Rahman berkata, jumlah jemaah yang mengerjakan ibadah berkenaan kali ini juga dianggarkan lebih ramai berbanding tahun 2018, sebelum pandemik Covid-19 menyerang.

Abdul Hadi, 37, yang juga Pengarah MKM Ticketing Travel & Tours berkata, pada musim haji tahun lalu, jumlah jemaah sekitar satu juta orang sahaja.

“Lepas merebaknya Covid-19, seperti yang kita tahu kuota jemaah dikurangkan jadi memang saya sangat rindu nak lihat jumlah jemaah yang ramai seperti sebelum berlakunya pandemik.

“Ketika saya mengendalikan jemaah pada tahun 2017 dan 2018, jumlah jemaah lebih dua juta, jadi ketika ini saya dapat rasakan semula suasana seperti dulu,” katanya kepada Sinar Harian.

ABDUL HADI
ABDUL HADI

Ditanya mengenai cabaran mengendalikan jemaah pada musim kali ini, Abdul Hadi yang bergelar mutawif haji dan umrah sejak tahun 2005 berkata, keadaan cuaca yang panas menjadi antara cabaran utama.

“Tahun lepas cuaca pun panas tapi tahun ini panasnya lebih luar biasa, mencecah 44 hingga 47 darjah Celsius.

“Jadi bagi elakkan kesihatan jemaah terganggu disebabkan cuaca panas, kami mutawif sentiasa ingatkan jemaah minum banyak air dan selalu basahkan kepala supaya tidak terkena strok haba,” ujarnya.

Selain itu, menurut Abdul Hadi, semua mutawif juga sentiasa memantau untuk memastikan jemaah memakai penutup kepala sama ada kopiah, topi, serban atau apa-apa sahaja yang boleh mengelakkan jemaah terdedah dengan panas terik matahari.

“Kami turut menyusun jadual sebaik mungkin bagi mengelakkan jemaah terdedah terus dengan cuaca yang sangat panas,” katanya.

MKM Ticketing Travel & Tours yang berpejabat di Star Avenue Commersial Cente, Seksyen U5, Bandar Pinggiran Subang di sini, kali ini mengendalikan seramai 386 jemaah haji.