Objek disyaki bom mortar ditemui di Padang Polo

Polis jalankan siasatan terhadap objek yang dipercayai bom mortar di Padang Polo, Ipoh pada Jumaat. - Foto ihsan polis
Polis jalankan siasatan terhadap objek yang dipercayai bom mortar di Padang Polo, Ipoh pada Jumaat. - Foto ihsan polis
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Satu objek menyerupai bom mortar dijumpai di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz atau Padang Polo di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, objek itu ditemui orang awam di tepi kolam kawasan berkenaan sekitar jam 3 petang.

"Langkah awal telah diambil dengan memasang pita kuning PDRM dan mengawal orang ramai supaya tidak mendekati lokasi kejadian.

"Pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak kini telah tiba di lokasi kejadian untuk tindakan seterusnya," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan ke atas objek yang disyaki bom mortar itu.

Sementara itu, objek menyerupai bom mortar yang ditemukan itu disahkan tidak mengandungi bahan letupan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, hasil siasatan mendapati, bom mortar berkenaan digunakan untuk latihan.

"Pemeriksaan dilakukan oleh Pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

"Bom mortar berukuran panjang 300 milimeter (mm) dan lebar 60mm itu dibawa ke Bahagian Persenjataan IPK Perak untuk siasatan dan tindakan selanjutnya," katanya.

Menurut beliau, siasatan akan dilakukan daripada pelbagai sudut bagi mengenal pasti bagaimana objek itu boleh berada di lokasi kejadian termasuk berhubung dengan agensi pertahanan.