'Pas patut contohi Arab Saudi’ - King Sing

Tiong King Sing
Tiong King Sing
A
A
A

SHAH ALAM - Kesemua pemimpin parti politik khususnya Pas digesa untuk belajar dari negara Islam lain yang maju dalam sektor pelancongan.

Menurut Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing, perkara itu perlu dilakukan bagi memastikan sektor pelancongan negara dapat berkembang.

“Saya ingin mengajak semua khususnya pemimpin Pas agar belajar dari negara Islam yang juga berkuasa besar di peringkat antarabangsa.

“Sebagai contoh Arab Saudi maju dan berkembang dalam sektor pelancongan mereka kerana tidak menafikan hak orang lain yang berbeza agama,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial, Facebook.

Pada 26 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan, seorang peniaga wanita bukan Islam dikenakan kompaun oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) selepas didapati memakai pakaian tidak sopan ketika berada di premis perniagaan pakaian.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bintulu itu turut mengingatkan kepada semua pihak bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk.

Beritahu beliau, tidak sepatutnya kompaun itu dikenakan kerana wanita itu masih berpakaian dan pada ketika itu dia berada di dalam premis perniagaan sendiri.

“Dia (wanita dikompaun) bukannya di kawasan tumpuan seperti bangunan kerajaan yang memerlukan orang awam mematuhi kod etika berpakaian.

“Jika kejadian kompaun wanita bukan Islam yang dikatakan berpakaian tidak sopan ini berulang lagi, maka ia akan memberi kerisauan dan impak kepada penduduk tempatan sehingga mampu menjejaskan sektor pelancongan negeri," ujarnya.

Pada masa sama, King Sing menegaskan bahawa orang ramai perlu mendukung Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas kepada kekuatan negara.

Katanya, beliau sebagai golongan bukan Islam tidak akan sesekali menafikan atau mempersoalkan hak mana-mana agama atau kaum di negara ini.