NGO digalak taja, beri sumbangan pengajian banduan

 Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KAJANG - [DIKEMAS KINI] Pihak luar sama ada individu atau kumpulan dan badan bukan kerajaan (NGO) digalak memberikan tajaan mahupun sumbangan dana bagi membiayai pengajian banduan yang ingin menyambung pelajaran mereka di peringkat diploma atau ke peringkat lebih tinggi.

Pengarah Penjara Kajang, Mohd Roslen Ramli berkata, ramai banduan yang menyatakan hasrat untuk menyambung pengajian mereka namun menghadapi masalah kewangan dalam membayar yuran.

"Mereka nak sambung belajar tetapi tiada wang. Jadi, dengan memperoleh tajaan atau sumbangan daripada pihak luar, mereka boleh bayar yuran pengajian," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata, dengan taraf pendidikan yang lebih baik, banduan yang akan dibebaskan nanti mempunyai peluang cerah dalam mempunyai kerjaya selain kemahiran dipelajari ketika rawatan dan pemulihan di dalam penjara.

"Mereka (banduan) juga mempunyai masa depan apabila dibebaskan kelak. Apabila ada kelulusan pendidikan peringkat yang lebih tinggi, ada kemungkinan menarik majikan untuk menggajikan mereka bekerja.

"Dengan tahap pendidikan yang lebih baik, ia bukan tiket untuk menjamin seseorang bekas banduan untuk memperoleh pekerjaan, namun ia menjadi satu penambahbaikan untuk para majikan meneliti dan mengambil mereka bekerja," katanya.

Mohd Roslen berkata, sehubungan itu, Jabatan Penjara mengalu-alukan mana-mana pihak untuk tampil memberikan tajaan atau sumbangan dana agar penghuni penjara mempunyai taraf pendidikan yang lebih tinggi dan pelbagai pilihan pekerjaan yang menanti apabila dibebaskan kelak.

Beliau berkata, setakat ini di Penjara Kajang, lebih 10 banduan sedang melanjutkan pelajaran dalam pelbagai peringkat secara sepenuh masa dengan seorang daripadanya di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Seorang banduan yang dikenali sebagai Zubir (bukan nama sebenar) berkata, dia tidak mempunyai wang simpanan atau sebarang sumber kewangan yang membolehkannya melanjutkan pengajian melainkan dengan sumbangan atau tajaan daripada pihak luar.

"Saya kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat PhD dalam bidang pentadbiran perniagaan. Selama ini, yuran pengajian saya dibayar oleh NGO dan orang perseorangan bermula daripada peringkat sarjana muda.

"Kami tidak ada wang untuk membayar yuran pengajian. Oleh itu, sumbangan daripada pihak luar sangat kami harapkan untuk menyambung pelajaran agar peluang untuk mendapatkan pekerjaan selepas keluar penjara menjadi lebih cerah," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Roslen berkata, ada bekas banduan yang mendapat pekerjaan setelah dibebaskan dengan menggunakan sijil yang diperoleh semasa menjalani hukuman penjara.

"Banduan perlu diberi peluang sama seperti orang lain. Mereka perlu diberi peluang untuk hidup di luar dengan lebih baik.

"Jika terdapat mana-mana individu, syarikat mahupun NGO yang berminat (memberi tajaan), boleh datang ke Penjara Kajang sendiri atau berurusan dengan pihak Ibu Pejabat Jabatan Penjara di Bahagian Pengurusan Banduan atau Bahagian Dasar bagi sama-sama berbincang untuk menjayakannya," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Open University Malaysia (OUM), Prof Dr Ahmad Izanee Awang berkata, tiada sebarang biasiswa ditawarkan pada masa ini kepada penghuni penjara dan yuran pengajian ditanggung sepenuhnya oleh ahli keluarga masing-masing.

"Ada sesetengah daripada mereka mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan ada juga yang mendapat tajaan daripada beberapa badan NGO. Jika mereka merupakan alumni kepada OUM atau warga emas, mereka layak ditawarkan potongan atau diskaun yuran pengajian,” katanya.

Sesiapa sahaja boleh mohon jadi pelajar OUM termasuk banduan - NC

Dalam pada itu, OUM sentiasa memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk memohon dan menyambung pengajian di universiti itu tanpa mengira latar belakang termasuk banduan.

Ahmad Izanee berkata, OUM menerima sesiapa sahaja asalkan individu terbabit memiliki kesungguhan dalam menimba ilmu ke tahap yang lebih tinggi selain bertekad untuk berubah menjadi insan lebih baik.

"Moto OUM ialah Universiti Digital untuk Semua. Semua ini tidak kiralah apa latar belakang pelajar, di mana mereka berada, apakah pekerjaan mereka, asalkan ingin menuntut ilmu dan mahu berjaya kami akan menerima mereka sebagai pelajar termasuklah penghuni penjara.

"Pada masa ini, kelayakan akademik juga amat penting dalam menentukan kerjaya masing-masing. Dengan berbekalkan kelayakan akademik, peluang untuk mendapatkan kerjaya yang lebih baik akan menjadi lebih cerah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya amat berbesar hati dalam membantu dan memberi peluang serta akses pendidikan kepada golongan banduan yang ingin menyambung pelajaran mereka di universiti berkenaan.

Sementara itu, Ahmad Izanee berkata, keterbukaan OUM untuk menerima banduan sebagai penuntut universiti itu bukan sahaja memberi manfaat dan harapan baharu kepada banduan tetapi turut memberi imej baik kepada Jabatan Penjara Malaysia sebagai institusi kerajaan prihatin.

Beliau berkata, ia juga selari dengan tema sambutan Hari Penjara pada tahun ini iaitu "Reformasi Ke Arah Pusat Pembangunan Peradaban Budaya Kemanusiaan”.

"Kemahiran dan pendidikan juga mampu mengurangkan stigma masyarakat terhadap banduan seterusnya memberi peluang kedua kepada mereka untuk diterima semula dalam komuniti apabila dibebaskan kelak,” katanya.

Mengenai peluang kerjaya kepada banduan yang mengikuti pengajian di universiti berkenaan, Ahmad Izanee berkata pihak universiti sememangnya ingin memainkan peranan dalam usaha memberikan peluang kedua kepada golongan itu terutama dalam kalangan alumni sendiri.

"Untuk merealisasikan hasrat ini, banyak faktor dan ketetapan perlu dipatuhi dan jika segala faktor dan ketetapan dapat dipenuhi, kami berharap ia akan menjadi kenyataan. Jika mereka memenuhi syarat yang ditetapkan, OUM akan menilai permohonan mereka sama seperti calon pekerja yang lain,” katanya.

Selain itu, beliau turut menjelaskan OUM bukan satu-satunya universiti yang menawarkan pengajian kepada banduan kerana terdapat beberapa institut pengajian tinggi lain turut berbuat demikian, namun OUM adalah pelopor.

"Kebanyakan banduan memilih OUM sebagai universiti pilihan, mungkin kerana kaedah pembelajaran secara dalam talian yang lebih fleksibel dan sesuai dengan keadaan mereka yang terikat dengan peraturan penjara,” katanya. - Bernama