Edouard Mendy tinggalkan Chelsea

Penjaga gol Edouard Mendy (tengah) menambah senarai panjang pemain dari Eropah yang berpindah ke Arab Saudi untuk meluaskan karier bola sepak. - Foto Instagram
Penjaga gol Edouard Mendy (tengah) menambah senarai panjang pemain dari Eropah yang berpindah ke Arab Saudi untuk meluaskan karier bola sepak. - Foto Instagram
A
A
A

PENJAGA gol Edouard Mendy menyertai kelab Al-Ahli di Arab Saudi, menjadikannya pemain terbaharu dari Chelsea untuk bermain di negara yang terkenal kerana memiliki sumber minyak yang banyak.

Al-Ahli dan Chelsea mengumumkan berita tersebut semalam (Rabu).

"Singa Teranga melindungi gol kami," kata Al-Ahli dalam hantaran di Twitter.

Mendy menyertai Chelsea dalam Liga Perdana Inggeris dari Stade Rennais pada tahun 2020 dan pemain berusia 31 tahun ini memainkan peranan penting ketika kelab London itu memenangi gelaran Liga Juara-Juara UEFA kedua mereka dengan kemenangan 1-0 menentang Manchester City dalam perlawanan akhir pada tahun 2021.

Selepas pengunduran pengurus Jerman Chelsea, Thomas Tuchel, kedudukan Mendy berada di belakang Kepa Arrizabalaga dalam urutan skuad di bawah pengurus Graham Potter sebelum diambil alih oleh Frank Lampard.

Liga Pro Saudi telah menjadi destinasi menarik bagi pemain yang berpangkalan di Eropah sejak Cristiano Ronaldo berpindah ke Al-Nassr pada Januari yang lalu.

Juara Liga Al-Ittihad pula menandatangani pemenang Anugerah Ballon d'Or, Karim Benzema pada awal bulan ini, manakala kelab tersebut juga mengesahkan pemindahan bekas gelandang Chelsea, N'Golo Kante, pada minggu lalu. - Agensi