Pesara polis bantah IPCMC

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) dan lapan persatuan pesara polis dalam negara tegas menolak penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang diberi kuasa mengambil tindakan tatatertib terhadap salah laku anggota polis.

Presiden Respa, Tan Sri Mohd Ismail Che Rus berkata penubuhan suruhanjaya itu jelas mengambil fungsi dan peranan Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP) yang termaktub dalam Artikel 140 Perlembagaan Persekutuan berhubung isu berkaitan siasatan dan tindakan tatatertib terhadap anggota.

“Kami berpendapat Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tidak memerlukan satu badan luar untuk mengawasi pengawalan tatatertib yang akan menjejaskan kuasa Ketua Polis Negara dalam aspek perintah dan kawalan disiplin oleh pihak awam.

“Keadaan ini akan memberi kesan negatif kepada PDRM sebagai institusi ‘regimented’ dan ‘para-military’ yang berpandukan ‘chain of command and control’,” katanya pada sidang media di Pulapol di sini, hari ini.

Lapan persatuan pesara polis itu adalah Persatuan Veteran VAT69 Komando, Persatuan BN 7 PPH, Persatuan Bekas UTK, Persatuan Pesara Polis Negeri Johor, Persatuan Skuad 72, Persatuan Pesara Polis Negeri Melaka, Persatuan Polis Pencen Malaysia dan Persatuan Bekas Polis Malaysia.

Mohd Ismail berkata, beberapa badan pemantau dan peraturan telah wujud untuk memantau segala aspek perilaku dan salah laku penjawat awam termasuk PDRM antaranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa (SIAP) 2009.

“Dalam PDRM juga sudah ada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) yang bertanggungjawab terhadap perilaku anggota... perkara yang perlu dilakukan adalah mengukuhkan SPP yang sedia ada berbanding menubuhkan IPCMC,” katanya yang turut meminta Ketua Polis Negara baharu Datuk Seri Abdul Hamid Bador menyatakan pendirian mengenai suruhanjaya itu.

Jelasnya, klausa 45 dalam IPCMC melanggar Peraturan-Peraturan Keadilan Asasi kerana sebarang hukuman yang dijatuhkan adalah muktamad dan tidak boleh dicabar, dirayu, dikaji, dibatalkan atau dibawa ke mahkamah selain bertindak sebagai badan penyiasat, pendakwa dan pelaksana.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, IPCMC juga bertentangan dengan Seksyen 4 Akta Polis 1967 kerana diberi kuasa penuh untuk mengambil alih penyiasatan daripada Ketua Polis Negara dan boleh mengarah serta menghentikan sebarang siasatan yang dijalankan PDRM.- Bernama