Padah gagal rekod pembelian gas LPG RM1.7 juta

Ariffin(kanan) ketika majlis pelancaran Jualan Rahmah 2023 Parlimen Batu di Padang Bola Sepak Taman Datuk Senu di sini pada Rabu.
Ariffin(kanan) ketika majlis pelancaran Jualan Rahmah 2023 Parlimen Batu di Padang Bola Sepak Taman Datuk Senu di sini pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Padah gagal merekodkan pembelian dan menyelenggara buku stok, seorang pemilik premis ditahan menerusi serbuan di sebuah stor penyimpanan gas berlesen di Setapak Jumaat lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, notis telah dikemukakan sebelum ini kepada pemilik premis berdasarkan peruntukan perundangan sebelum serbuan dijalankan.

Menurutnya, analisa yang dilakukan kemudian mendapati pihak premis tersebut gagal merekod pembelian serta menyelenggara buku stok seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Semakan dokumen pembekalan gas LPG sejak Januari sehingga Jun ini mendapati pihak tersebut gagal merekodkan pembelian melibatkan 345 transaksi yang berjumlah RM1.7 juta.

"Selain itu, semakan dijalankan mendapati pemilik berkenaan merupakan pemegang lesen runcit barang kawalan (LPG) yang sah sehingga 25 Oktober," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar majlis pelancaran Jualan Rahmah 2023 Parlimen Batu di Padang Bola Sepak Taman Datuk Senu di sini pada Rabu.

Katanya, siasatan mendapati premis itu turut menjalankan aktiviti pembekalan gas LPG bersubsidi kepada pihak ketiga bagi tujuan penyelewengan di sekitar Lembah Klang.

"Pemilik premis yang merupakan seorang lelaki warga tempatan telah ditahan untuk siasatan lanjut selain dirakam keterangan untuk membantu siasatan.

"Tindakan tegas akan diambil termasuk semakan semula pelesenan yang dimiliki oleh syarikat ini jika terdapat pelanggaran yang dilakukan oleh pemilik premis," katanya.