UiTM lonjak 102 anak tangga QS World University Rankings

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Universiti Teknologi MARA (UiTM) mencatat rekod baharu apabila berjaya melonjak 102 anak tangga daripada kedudukan pada tahun lepas dengan mencapai kedudukan ke-555 dalam QS World University Rankings 2024.

UiTM dalam kenyataan pada Rabu berkata, lonjakan kedudukan itu telah menjadikan universiti berkenaan antara 37 peratus teratas daripada 1,503 institusi seluruh dunia yang menerima kedudukan pada tahun ini.

"QS World University Rankings mengukur prestasi universiti berdasarkan sembilan indikator iaitu reputasi akademik, sitasi setiap fakulti, reputasi majikan, hasil pekerjaan, nisbah pelajar fakulti, fakulti antarabangsa, rangkaian penyelidikan antarabangsa, pelajar antarabangsa dan kemampanan.

"Daripada indikator ini, reputasi majikan terus menjadi indikator terkuat UiTM apabila ia melonjak 11 anak tangga untuk mencapai kedudukan ke-184 berbanding kedudukannya pada 195 di seluruh dunia pada tahun lepas," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, bagi tahun keempat berturut-turut, UiTM juga meningkatkan kedudukannya bagi reputasi akademik apabila meraih 14 anak tangga untuk mencapai kedudukan ke-303 berbanding kedudukan ke-317 pada tahun lepas.

Menurut UiTM, universiti berkenaan telah mencapai peningkatan sebanyak dua anak tangga berbanding tahun lepas dalam mencapai kedudukan ke-10 terbaik di Malaysia.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor berkata, pada tahun ini merupakan pencapaian terbaik UiTM sejak pertama kali menyertai QS World University Rankings.

“Sukar untuk saya ungkapkan betapa bangganya kami dengan pencapaian ini yang merupakan hasil penyusunan strategi dalam melakukan yang terbaik untuk pemegang taruh UiTM.

"Ini jelas menunjukkan bahawa UiTM sememangnya berada pada landasan yang betul ke arah menjadi Universiti Terkemuka Dunia menjelang 2025,” jelas beliau.