DUN Pulau Pinang rasmi bubar hari ini, beri laluan kepada PRN

DUN Pulau Pinang rasmi bubar hari ini, beri laluan kepada PRN
DUN Pulau Pinang rasmi bubar hari ini, beri laluan kepada PRN
A
A
A

GEORGE TOWN - Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang mempunyai 40 kerusi secara rasmi dibubarkan hari ini, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pembubaran itu, lebih awal berbanding tempoh mandat lima tahun yang akan berakhir pada 2 Ogos ini, susulan pengumuman Ketua Menteri, Chow Kon Yeow pada sidang medianya semalam, selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Yang Dipertua DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang menyerahkan watikah pembubaran DUN Pulau Pinang kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri, Dr Siti Nazariah Abdul Zalim semalam bagi membolehkan pilihan raya tersebut diadakan.

Persidangan DUN Pulau Pinang yang pertama diadakan pada 1 Ogos 2018, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018.

Kon Yeow berkata, tempoh selepas tiga minggu pembubaran DUN untuk hari penamaan calon itu dikira memadai dan mencukupi untuk semua pihak menjalankan gerak kerja parti masing-masing.

Pada PRU14, Pakatan Harapan (PH) memenangi 37 daripada keseluruhan 40 kerusi, termasuk dua daripada calon Bersatu yang ketika itu masih bersama PH, manakala Barisan Nasional (BN) memenangi dua kerusi dan Pas (satu).

Pada Februari 2020, Bersatu mengumumkan keluar daripada PH dan menyertai Perikatan Nasional (PN) menyebabkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu Pulau Pinang, ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan ADUN Teluk Bahang, Zolkifli Md Lazim, menarik balik sokongan mereka terhadap pentadbiran kerajaan negeri di bawah PH.

Sementara pergolakan dalam PKR turut menyaksikan dua ADUN daripada parti itu dipecat iaitu ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin dan ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim.

Kedudukan terkini kerusi sebelum DUN Pulau Pinang dibubarkan ialah PH memiliki 33 kerusi, BN (dua), Bersatu (empat) dan Pas satu kerusi.

Selain Pulau Pinang, negeri lain yang akan mengadakan PRN ialah Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor dan Kelantan. - Bernama