Keputusan pindaan undang-undang pencen batal, tak sah kekal

Mahkamah Persekutuan mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan undang-undang pencen yang dipinda sebagai terbatal dan tidak sah.
Mahkamah Persekutuan mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan undang-undang pencen yang dipinda sebagai terbatal dan tidak sah.
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan pada Selasa mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan undang-undang pencen yang dipinda sebagai terbatal dan tidak sah.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim sebulat suara menolak rayuan kerajaan dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Turut bersidang ialah Hakim Besar Malaya Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli, serta hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Hasnah Mohamed Hashim dan Datuk Rhodzariah Bujang.

Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Mohamad Zabidin berkata, Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 (PAA), yang membenarkan kenaikan dua peratus setiap tahun, kurang memihak kepada pesara dan dengan itu melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan (yang memperuntukkan perlindungan hak pencen).

"Keputusan sebulat suara kami adalah tiada merit dalam rayuan perayu (kerajaan dan Ketua Pengarah JPA). Rayuan itu ditolak dan keputusan serta perintah Mahkamah Rayuan disahkan,” kata beliau dan menambah bahawa mahkamah tidak membuat sebarang perintah berhubung kos kerana ia adalah kes kepentingan awam.

Mohamad Zabidin berkata, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah meneliti pindaan Seksyen 3 (2) PAA sebenarnya adalah perakuan bahawa pindaan itu boleh mengakibatkan keadaan kurang baik.

Hakim itu berkata, Mahkamah Rayuan betul apabila menyatakan keadaan kurang baik tersebut tidak boleh diperbetulkan kerana mekanisme yang diperuntukkan di bawah Seksyen 3 (2) PAA yang dipinda bagi menangani situasi kurang baik sekiranya timbul, hanyalah "permisif”.

Seksyen 3 (2) PAA yang dipinda itu menyatakan bahawa jika penggunaan kadar kenaikan tertentu akan mengakibatkan keadaan yang kurang menguntungkan seseorang pegawai yang dilantik sebelum pindaan berkuat kuasa, Yang di-Pertuan Agong boleh melalui perintah dalam warta menetapkan peratusan kenaikan yang lebih tinggi yang sesuai untuk digunakan dalam kes sedemikian.

Pada 13 Jan tahun lepas, Mahkamah rayuan mengisytiharkan pindaan Seksyen 3 dan 7 itu yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2013 adalah terbatal dan tidak sah kerana ia melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.

Aminah, yang bersara sebagai penjawat awam di Kementerian Luar, menyaman kerajaan dan Ketua Pengarah JPA atas kapasiti peribadinya dan bagi pihak 56 pesara perkhidmatan awam, mendakwa pindaan kepada PAA pada 2013 mengakibatkan keadaan kurang memberi manfaat kepada beliau berbanding dengan skim pelarasan persaraan sebelum ini di bawah Akta Pelarasan Pencen 1980.

Di bawah skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred tersebut. Bagaimanapun, pindaan 2013 diperkenalkan berdasarkan kadar rata dua peratus kenaikan tahunan.

Aminah pada mulanya gagal di Mahkamah Tinggi apabila kesnya ditolak pada 2020. Beliau kemudian merayu kepada Mahkamah Rayuan yang membuat keputusan memihak kepadanya. Kerajaan dan Ketua Pengarah JPA mendapat kebenaran merayu tahun lepas.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, Liew Horng Bin dan Peguam Persekutuan M. Kogilambigai mewakili kerajaan dan Ketua Pengarah JPA manakala peguam Datuk Lim Choon Khim, Chin Yan Leng dan David Yii Kee Kiet mewakili Aminah. - Bernama