Bekas mekanik didakwa rogol, rakam video pornografi anak saudara

Tertuduh (kiri) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa.
Tertuduh (kiri) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas empat pertuduhan berkait jenayah seksual terhadap anak saudara perempuannya, lima tahun lalu.

Bekas mekanik kapal di Singapura yang berusia 41 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim V M Mabel Sheela.

Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa merogol kanak-kanak perempuan yang berusia tujuh tahun sembilan bulan ketika kejadian, tanpa kerelaan mangsa.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kedua, dia didakwa membuat satu pornografi kanak-kanak itu dalam bentuk video dan bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat sehingga enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) AKSTK 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Tiga perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di sini, pada jam 1.30 pagi, 1 Ogos 2018.

Bagi pertuduhan terakhir, lelaki itu didakwa memiliki satu 'pendrive' mengandungi video dan gambar pornografi kanak-kanak di sebuah rumah dekat Iskandar Puteri di sini, jam 9 malam, 24 Mei lalu.

Dia yang didakwa mengikut Seksyen 10 AKSTK 2017 itu berdepan hukuman maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fadilah Johanuddin memaklumkan mahkamah bahawa perbuatan dilakukan tertuduh adalah tidak boleh dijamin, namun menyerahkan kepada budi bicara mahkamah.

Beliau mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan berserta tiga syarat tambahan, sekiranya mahkamah ingin membenarkam tertuduh diikat jamin.

Namun, peguam Baharudin Baharim yang mewakili tertuduh memohon jumlah ikat jamin yang lebih rendah atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan isteri dan anak, manakala permit kerja tertuduh juga sudah dihentikan sejak ditahan polis.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan, tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta lapor diri di balai polis sebulan sekali.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 24 Julai depan.

Difahamkan, tertuduh akan menghadapi pertuduhan di beberapa negeri lain seperti Pahang, Kuala Lumpur dan Kedah membabitkan mangsa yang sama.