'Penyelidik ramal gelombang PN lebih besar melebihi PRU15'

Tuan Ibrahim berucap semasa Jelajah Selangor Baharu Kita Bangkit! Shah Alam di Seksyen 18 di sini pada Isnin malam.
Tuan Ibrahim berucap semasa Jelajah Selangor Baharu Kita Bangkit! Shah Alam di Seksyen 18 di sini pada Isnin malam.
A
A
A

SHAH ALAM - Analisis dibuat sebahagian penyelidik meramalkan gelombang Perikatan Nasional (PN) pada enam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dijangka jauh lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, momentum PRN kali ini memperlihatkan angin perubahan rakyat untuk terus menyokong PN.

Menurut beliau, antara sebab rakyat menyokong PN apabila wujudnya kerjasama antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH).

"Dulu (sebelum PRU15), ahli UMNO tidak tahu pemimpin mereka menipu hingga ada pendirian 'No Anwar No DAP', maka ahli memegang kata-kata itu dan mengundi mereka dalam pilihan raya.

"Begitu juga dengan PH yang kononnya tidak mahu bekerjasama dengan UMNO atas beberapa isu integriti, namun akhirnya mereka bergabung membentuk kerajaan selepas PRU15," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Jelajah Selangor Baharu Kita Bangkit! Shah Alam di Seksyen 18 di sini pada malam Isnin.

Tuan Ibrahim berkata, pembohongan itu menyebabkan rakyat marah kepada UMNO dan PH.

"Bila kita bicara soal pilihan raya ialah peluang yang diberi kepada rakyat dalam sistem demokrasi untuk memilih pemimpin.

"Kita baharu tiga hari bubar DUN (Dewan Undangan Negeri) Selangor dan PRN mungkin diadakan pada Ogos, ini bermakna kita lebih kurang sebulan untuk kita tewaskan PH dan BN," jelas beliau.

Tegas beliau, gelombang PN yang berlaku itu merupakan satu manifestasi dan kehendak rakyat di seluruh negara.

Katanya, siapa sangka PN mampu menang 14 daripada 15 kerusi DUN dan semua tiga Parlimen di Perlis pada PRU15 lalu.

"Kedah PN menang besar, begitu juga dengan Kelantan dan Terengganu memang kita jangka sebagaimana kita jangka Selangor ini (PH ) tumbang kepada PN pada kali ini," ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, antara enam PRN sudah tentu fokus utama adalah di negeri Selangor.

"Bukan bermakna negeri lain tidak diberi perhatian, tetapi rakyat melihat keseluruhan PRN ini bergantung kepada Selangor.

"Kalau Selangor PH dan BN tumbang, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang juga tidak mustahil," tambahnya.