Malaysia sedia bantu Laos sempena kepengerusian ASEAN 2024

Zambry - Foto Bernama
Zambry - Foto Bernama
A
A
A

VIENTIANE - Malaysia sedia membantu Laos dalam persediaan negara itu mengambil alih Kepengerusian ASEAN tahun depan.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, perkara itu dinyatakannya kepada Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Laos, Saleumxay Kommasith dalam mesyuarat bilateral yang diadakan di Kementerian Luar Laos pada Isnin.

"Malaysia dan Laos berkongsi banyak kepentingan bersama, terutamanya dalam konteks kerjasama ASEAN.

"Kami juga berpeluang mengadakan perbincangan yang menyentuh isu-isu dua hala yang berkepentingan bersama antaranya perihal ekonomi, perdagangan, pelancongan, tenaga dan pendidikan," katanya kepada media Malaysia, di sini pada Isnin.

Mesyuarat yang berlangsung selama satu jam itu diadakan menjelang lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Laos bermula Isnin.

Zambry berkata, dalam pertemuan tersebut beliau turut menyatakan komitmen Kementerian Luar untuk bekerjasama dengan rakan sejawatnya itu bagi mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama dua hala kedua-dua negara.

Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kommasith atas layanan baik dan kemudahan yang diberikan kepada delegasi Malaysia sempena lawatan itu.

Perdana Menteri dijangka tiba di ibu negara Laos petang ini bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam lawatan pertama beliau ke negara ini, Anwar antara lain akan mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin utama Laos antaranya Presiden Dr Thongloun Sisoulith dan Perdana Menteri Dr Sonexay Siphandone. - Bernama