'Jangan layan kenyataan peribadi' - Ahmad Zahid

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. - Foto Bernama
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. - Foto Bernama
A
A
A

SUBANG - Kenyataan yang keluar daripada mulut seseorang individu bukan satu kenyataan rasmi bagi sesebuah parti meskipun ia bertentangan dengan semangat kebersamaan di bawah satu pakatan kepartian.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara seumpama itu sewajarnya tidak dialu-alukan, malah tidak perlu dilayan ketika mana situasi genting menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin hampir.

Beliau berkata, sebagai sebuah komponen Barisan Nasional (BN), semua parti memahami peranan dan tugas masing-masing menjelang PRN, maka isu seumpama itu seharusnya tidak dibangkitkan.

"Kenyataan pelbagai pemimpin daripada pelbagai parti terutama melibatkan pandangan peribadi adalah tidak dialu-alukan.

"Sesebuah parti pastinya tidak akan meluluskan pendapat peribadi dan ia seharusnya tidak perlu dilayan.

"Isu seumpama ini pastinya akan memberi persepsi bahawa kita tidak ada kebersamaan," katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan persidangan Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBINAA) Asia Pasifik ke-23.

Hadir sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid; Duta Amerika Syarikat di Malaysia, Brian D McFeeters dan Timbalan Pengarah Operasi Bahagian Antarabangsa Ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Raymond P Duda.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, rakan komponen BN sama ada MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) secara dasarnya sebulat suara menyokong untuk memberi kerjasama utuh mendukung perjuangan semasa PRN yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Tegas beliau, kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) adalah berada pada tahap terbaik ketika ini.

"Sehubungan tidak perlu ada mana-mana pihak melayan kenyataan individu yang berbeza dengan pendirian parti masing-masing.

"Semua pihak di dalam komponen BN dan PH berpegang pada pendirian utama parti secara rasmi.

"Saya berterima kasih kepada kepimpinan utama MCA, MIC dan PBRS yang mendukung penuh untuk sama-sama menghadapi PRN bagi mencapai kejayaan," katanya.