Tengku Zafrul sambut hari lahir, titip ucapan buat isteri

Tangkap layar daripada Facebook Tengku Zafrul pada Ahad.
Tangkap layar daripada Facebook Tengku Zafrul pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mencuri tumpuan orang ramai apabila beliau menitip ucapan buat isteri sempena menyambut ulang tahun kelahirannya di siaran laman Facebook pada Ahad.

Tengku Zafrul yang menitip doa itu turut mengucapkan terima kasih atas sokongan isterinya yang banyak membantu keluarga mereka.

Beliau turut memuat naik gambar bersama isterinya ketika menyambut hari lahirnya yang ke-50 itu.

“Sempena hari jadi saya, saya nak dedikasikan hantaran ini untuk isteri saya yang tercinta. Dina, awak sentiasa menjadi sokongan terbesar saya selama ini dan juga tulang belakang kepada keluarga kami.

“Walaupun jadual saya sentiasa padat, dia tak pernah mengeluh dan tidak henti menyokong saya dalam apa jua keputusan yang saya ambil.

"Memang benar apabila mereka mengatakan di belakang setiap lelaki yang berjaya adalah wanita yang kuat. Terima kasih kerana menjadi wanita itu kepada saya,” katanya pada Ahad.