Wanita Vietnam ditahan tetak buruh

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

LUMUT - Seorang suri rumah warga Vietnam ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kejadian bunuh seorang buruh di sebuah ladang kelapa sawit di Ayer Tawar, Manjung pada Sabtu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, maklumat awal kejadian diterima sekitar jam 5.15 petang yang memaklumkan terdapat seorang lelaki ditemui terbaring tidak sedarkan diri.

"Siasatan polis di tempat kejadian mendapati mangsa berusia 38 tahun ditemui terbaring dengan beberapa kesan tetakan pada tubuh badannya.

"Polis turut menjumpai dua batang besi cangkuk tandan kelapa sawit, sebatang besi, satu jaring kutip buah lerai sawit, sehelai tuala serta sebuah motosikal berada berdekatan dengan mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Menurut beliau, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan pendarahan yang banyak akibat luka-luka kesan tetakan senjata tajam.

"Luka tetakan pada bahagian kepala telah membelah tengkorak mengenai otak.

"Siasatan polis berjaya menghasilkan tangkapan terhadap suspek berusia 38 tahun sekitar jam 3.30 pagi di Ayer Tawar. Suspek merupakan kenalan mangsa," katanya.

Mohd Yusri berkata, suspek direman selama tujuh hari sehingga 1 Julai untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintenden Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-3927837 bagi membantu siasatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!