Ruang niaga, mural hidupkan uptown MPAJ

Ani (kanan) meninjau lukisan mural yang terdapat di Ulam.
Ani (kanan) meninjau lukisan mural yang terdapat di Ulam.
A
A
A

AMPANG - Sebanyak RM32,000 digunakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi menghidupkan ruang perniagaan Uptown Lorong Ampang Mampan (Ulam) sebagai lokasi tarikan pengunjung.

Yang Dipertua MPAJ, Dr Ani Ahmad berkata, Ulam merupakan penjenamaan semula Lorong Ampang Mampan terletak di lorong belakang Ampang Point yang dirasmikan pada tahun lepas.

Menurutnya, kewujudan Lorong Ampang Mampan sepanjang 300 meter terdiri Zon A dan Zon B itu kini dipenuhi 51 peniaga yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan.

"Penjenamaan semula ruang niaga di Lorong Ampang Mampan kepada Ulam dilaksanakan mengikut keperluan semasa, trending dan permintaan peniaga serta pelanggan untuk mewujudkan ‘uptown’ dalam kawasan MPAJ.

"Penjenamaan ini melibatkan kerja-kerja tambahan iaitu empat lukisan mural di dinding Zon A, membaik pulih lukisan mural sedia ada dan mencetak risalah promosi.

"Semua ini melibatkan kos RM15,000 daripada KPKT (Kementerian Pembangunan

Kerajaan Tempatan) dan kos tambahan RM17,000 lagi daripada MPAJ dengan kos keseluruhan berjumlah RM32,000," katanya pada Majlis Perasmian Ulam sempena Karnival Ampang Mampan pada malam Jumaat lalu.

Beliau berharap penjaja dapat memberikan perkhidmatan terbaik dan menjaga kebersihan serta kualiti makanan dalam usaha menarik pengunjung ke lokasi berkenaan serta menjaga imej konsep pembangunan mampan yang dibawa.

"Setakat hari ini 30 penjaja di Zon A dan 21 penjaja di Zon B. MPAJ sedang

dalam perancangan untuk mengembangkan bilangan penjaja di Zon B kepada 30 orang penjaja bagi memberi peluang kepada lebih ramai penduduk untuk menjana pendapatan.

"Terima kasih kepada pihak penganjur, Persatuan Angkatan Malaysia Cemerlang yang memberi kerjasama baik kepada MPAJ dengan mengatasi pelbagai isu atau aduan yang berbangkit," katanya.

Ulam beroperasi pada setiap Jumaat sehingga Ahad bermula jam 5 petang hingga 12 malam.

Antara gerai jualan terdapat di uptown tersebut seperti kasut, tilam, pakaian, makanan dan minuman.