Sokongan orang muda pada PN makin meningkat

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

KOTA BHARU - Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang melihat sokongan orang muda terhadap parti itu di enam negeri yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin meningkat.

Beliau berkata, bukan itu sahaja golongan berusia turut dilihat semakin selesa dengan PN sekali gus memberikan petanda positif.

"Dalam kalangan orang UMNO sendiri terdapat perubahan apabila mereka mula menyokong PN dan momentum itu sangat positif untuk kita pada PRN ini," katanya semasa sidang akhbar pada malam Sabtu.

Sebelum itu beliau menyampaikan ceramah di Pakat Pertahan Kelantan: Pas Pilihanku dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.

Abdul Hadi berkata, situasi itu mencerahkan lagi peluang PN untuk mengekalkan Kelantan, Terengganu dan Kedah selain mengintai peluang merampas Selangor, Negeri Sembilan serta Pulau Pinang.

Mengulas mengenai manifesto, Presiden Pas itu memberitahu perkara tersebut dalam perancangan.

"Untuk PRN ini manifesto dibuat pada peringkat negeri. Pembahagian kerusi sekarang ini boleh dikatakan sudah 99.9 peratus selesai.

"Bermakna sudah selesai dan tiada sebarang masalah besar berkenaan perkara itu," katanya.