'Bapa tahu berenang tetapi sudah ajalnya'

Muhamad Shaiful menunjukkan gambar swafoto Mustaffa sebelum dikhabarkan terlibat kemalangan paramotor pada petang Jumaat.
Muhamad Shaiful menunjukkan gambar swafoto Mustaffa sebelum dikhabarkan terlibat kemalangan paramotor pada petang Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - “Saya tak sempat nak larang bapa naik paramotor,” kata anak lelaki kepada bekas Penghulu Mukim Seribong, Mustaffa Isa, 60, yang maut dalam kejadian paramotor terjunam ke laut di Pantai Irama, Bachok, pada Jumaat.

Muhamad Shaiful Mustaffa, 30, berkata, dia mendapat tahu bapanya mahu bermain sukan luncur udara itu melalui gambar yang dihantar ke kumpulan WhatsApp keluarga beberapa minit sebelum Mustaffa berlepas kira-kira jam 6 petang.

Dia yang tinggal dan bekerja sebagai pekerja selenggara di sebuah hotel di Terengganu kemudian terus menghubungi bapanya untuk melarang menaiki paramotor berkenaan.

Muhamad Shaiful
Muhamad Shaiful

“Saya pernah bekerja sebagai pengendali paramotor lima tahun lalu. Itu yang dia hantar gambar berserta kapsyen 'nak ganti Shaiful' menyebabkan saya terus membuat panggilan video, tetapi dia putuskan kerana dah nak berlepas.

“Saya nak beritahu dia jangan naik paramotor tu, tetapi tak sempat. Selang 15 minit kemudian saya dapat tahu dia kemalangan dan sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Seribong di sini pada Sabtu.

Menurut Muhamad Shaiful, dia mempunyai pengalaman selama 10 tahun mengendalikan paramotor dengan mengikuti rakan bapanya, Mat Jusoff Mamat, 77, yang turut terbabit dalam kemalangan itu, namun terselamat.

“Bapa penumpang paramotor dan tahu berenang tetapi sudah ajalnya, kami sekeluarga tetap reda atas pemergian ini,” katanya.

Rosnah
Rosnah

Sementara itu, isteri Mustaffa, Rosnah Hasan, 58, berkata, jenazah suaminya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seribong pada jam 11 pagi, Sabtu.

Menurut Rosnah, suaminya beria-ria mengajak dia ke pantai untuk bermain sukan paramotor berkenaan.

“Dua hari sebelumnya, ada juga dia ajak minum air pada waktu malam di pantai sama tetapi saya tak pergi.

“Semalam pun saya tak ikut tetapi tahu dia nak naik paramotor dan ini kali kedua dia bermain sukan tersebut,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu.

Media sebelum ini melaporkan, Mustaffa dipercayai lemas apabila paramotor yang dinaiki bersama rakan baiknya terjunam ke dalam laut di Pantai Irama, Bachok pada petang Jumaat.

Dalam kejadian jam 6.50 petang itu, Mustaffa ditemui di kedalaman kira-kira tiga meter dalam lautan, manakala sahabatnya yang berusia 77 tahun mengalami kecederaan ringan.