Jangan jadikan perbezaan politik senjata permusuhan - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Pelancaran Sentuhan Kasih Desa di Dataran Nilai pada Sabtu. - Foto Bernama.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Pelancaran Sentuhan Kasih Desa di Dataran Nilai pada Sabtu. - Foto Bernama.
A
A
A

NILAI - Perbezaan politik tidak sepatutnya dijadikan senjata permusuhan dan memfitnah antara satu sama lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebaliknya ia perlu dijadikan ruang untuk masing-masing memberi cadangan yang lebih baik demi kebaikan negara.

"Saya belum dengar lagi cadangan lebih baik. Kita kurangkan subsidi elektrik dikatakan beri beban kepada rakyat sedangkan kita kurangkan kepada mereka yang menggunakan 1,500 kWj.

"Tiada orang pun yang guna melainkan Seri Perdana rumah Perdana Menteri. Tapi dikempen beri beban kepada negara," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Sentuhan Kasih Desa, Mini Karnival Usahawan Desa(KUD) di Dataran Nilai di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Malah kata Anwar, perbezaan pandangan turut berlaku dalam perbincangan Jemaah Menteri tetapi akhirnya keputusan tetap perlu dibuat.

Dalam pada itu beliau mengakui hubungan baharu Pakatan Harapan(PH) dengan Barisan Nasional (BN) di bawah Kerajaan Perpaduan masih mengambil masa memandangkan sekian lama tidak mempunyai hubungan yang baik.

Bagaimanapun katanya, semua pihak perlu saling memaafkan antara satu sama lain seperti yang dituntut dalam al-Quran.

"Kena tahu ini gabungan baharu, kadang-kadang kena ambil masa sikit. Dia geram lama, tapi tak boleh macam itu.

"Kita ini kena maafkan kalau kita ada keikhlasan. Bukan maafkan untuk orang merompak, bukan maafkan untuk dia fitnah kita, tapi maafkan untuk kita bawa kebaikan," katanya.