Kes kutu Sapiza: Ibu tiga anak didakwa lagi

Nurshafeza dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat atas pertuduhan menerima deposit tanpa lesen sah sebanyak RM28,000, tahun lalu.
Nurshafeza dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat atas pertuduhan menerima deposit tanpa lesen sah sebanyak RM28,000, tahun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang wanita yang dikaitkan dengan pelaburan kutu Saving Sapiza Extra (SSE), mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas pertuduhan menerima deposit tanpa lesen sah sebanyak RM28,000, tahun lalu.

Nurshafeza Jamaludin, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Muhamad Anas Mahadzir.

Ini merupakan kali ketiga dia dituduh di mahkamah, yang mana sebelum ini melibatkan keseluruhan pertuduhan kes penipuan pelaburan berjumlah RM75,000 di mahkamah di Johor dan daerah ini.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada tiga orang anak itu didakwa melakukan kesalahan itu daripada wanita berusia 42 tahun, di sebuah unit pangsapuri di Puchong antara 22 Oktober sehingga 1 Disember 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 137(1) akta yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137 (2) akta yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebih RM50 juta atau kedua-duanya sekali.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Yong Ching Hong mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan iaitu melaporkan diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali.

Bagaimanapun, peguam, Shahrin Satheer merayu agar ikat jamin dikurangkan memandangkan anak guamnya telah didakwa satu pertuduhan di mahkamah di Johor dan dua pertuduhan di sini semalam.

"Dia perlu menyara tiga anaknya yang berusia enam bulan hingga tujuh tahun selain telah direman selama 25 hari," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Muhamad Anas membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 24 Julai depan.

Pada 12 Februari lepas, media melaporkan pihak polis menahan lapan individu termasuk enam wanita disyaki terlibat dalam skim sapiza extra saving di empat negeri dalam serbuan pada 27 Jan susulan 116 laporan yang diterima pihak berkuasa di seluruh negara berhubung skim penipuan itu melibatkan kerugian RM4.43 juta.