Suspek ditahan dalam kapal terbang bersabit kes along

Tangkap layar video tangkapan dibuat polis dalam pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai yang tular di aplikasi TikTok.
Tangkap layar video tangkapan dibuat polis dalam pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai yang tular di aplikasi TikTok.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis mengesahkan penahanan seorang suspek di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai Rabu lalu, yang tular di aplikasi TikTok Rabu lalu, berkait dengan kesalahan jenayah ceti haram atau along.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, suspek berusia 28 tahun itu merupakan salah seorang penumpang dalam penerbangan tersebut yang baharu tiba dari utara tanah air.

Katanya, penahanan lelaki terbabit dibuat mengikut undang-undang.

"Polis mengesan satu video tular di aplikasi TikTok pada Jumaat berkaitan tangkapan seorang suspek dibuat polis di dalam sebuah kapal terbang.

"Ketika kejadian (Rabu), polis sedang menjalankan tugas dan berjaya mengesan suspek yang merupakan penumpang dalam pesawat berkenaan hasil risikan dibuat.

"Penahanan suspek beserta empat rakannya yang berusia antara 21 hingga 30 tahun sebelum itu dibuat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Raub, kesemua suspek direman selama empat hari bermula Khamis bagi membantu siasatan.