Kerajaan tetap harga kawalan maksimum beras di peringkat kilang, borong

Kerajaan menetapkan harga kawalan maksimum jualan beras tempatan di peringkat kilang dan borong sebagai tindakan segera memastikan harga pasaran beras tempatan dalam negara sentiasa stabil serta terkawal. - Foto Bernama
Kerajaan menetapkan harga kawalan maksimum jualan beras tempatan di peringkat kilang dan borong sebagai tindakan segera memastikan harga pasaran beras tempatan dalam negara sentiasa stabil serta terkawal. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan menetapkan harga kawalan maksimum jualan beras tempatan di peringkat kilang dan borong berkuat kuasa 16 Jun lepas sebagai tindakan segera memastikan harga pasaran beras tempatan dalam negara sentiasa stabil serta terkawal.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan semua pemegang Lesen Kilang Padi Komersial dan Lesen Borong Beras dikehendaki mematuhi harga kawalan maksimum selaras surat arahan yang dikeluarkan bertarikh 16 Jun 2023.

Menurut KPKM, harga kawalan maksimum beras Super Spesial Tempatan 5% (SST5) di peringkat runcit ialah RM2.60 sekilogram sepertimana yang termaktub di dalam peruntukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522].

"Beras putih import pula adalah beras yang tidak dikawal harganya oleh kerajaan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan susulan dakwaan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) Datuk Ameer Ali Mydin bahawa akan ada peningkatan harga antara RM1 dan RM2 untuk beras 10 kilogram pada Julai ini.

Kenyataan itu menyebut ketika ini, harga pasaran beras putih import di peringkat runcit majoritinya masih berada di paras RM32 dan ke bawah bagi setiap beg 10 kilogram.

"Ini merupakan paras harga pasaran yang normal bagi gred beras putih import, dan ianya bergantung kepada permintaan terhadap beras import,” menurut KPKM sambil menambah harga pasaran beras dalam negara adalah stabil kerana harga jualan bagi 70 peratus bekalan beras tempatan dikawal oleh kerajaan.

Katanya, pemantauan berterusan Kawalselia Padi dan Beras (KPB) juga dijalankan di peringkat runcit dan borong di seluruh negara bagi memastikan harga serta bekalan beras sentiasa stabil. - Bernama