43 rumah untuk veteran ATM diluluskan

Adly menandatangani plak penyerahan rumah menerusi Inisiatif Perumahan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Jalan Jaya Ayer Baloi Pontian, pada Jumaat.
Adly menandatangani plak penyerahan rumah menerusi Inisiatif Perumahan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Jalan Jaya Ayer Baloi Pontian, pada Jumaat.
A
A
A

PONTIAN - Sebanyak 43 permohonan bagi pembinaan rumah baharu sudah diluluskan menerusi Inisiatif Perumahan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) setakat Jun tahun ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan berbanding hanya 40 buah kediaman disasarkan dibina di seluruh negara pada tahun ini.

"Saban tahun, permintaan bagi pembinaan rumah baharu ini menunjukkan peningkatan. Tahun lepas, jumlah peruntukannya adalah untuk pembinaan 25 buah rumah tetapi tahun ini jumlahnya meningkat kepada 40 buah dan sekarang sudah diluluskan 43 buah rumah.

"Di peringkat kementerian, penilaian sentiasa dilakukan kerana kita mengambil maklum inisiatif Perumahan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amat membantu golongan veteran kurang berkemampuan memiliki kediaman sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menyerahkan rumah veteran ATM kepada balu anggota di Jalan Jaya Ayer Baloi, pada Jumaat.

Adly berkata, rumah berkenaan yang mempunyai tiga bilik tidur itu dianggarkan bernilai RM85,000 dan dilaksanakan dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

"Kementerian akan cuba mendapatkan lebih peruntukan menerusi bajet bagi memastikan Inisiatif Perumahan Veteran ATM dapat diteruskan meskipun berdepan cabaran kenaikan kos barang binaan.

"Mungkin tahun ini kita masih dapat rumah tiga bilik bernilai RM85,000 tetapi kemungkinan besar kos pembinaannya akan meningkat dalam tempoh dua tahun akan datang," katanya.

Jelasnya, cabaran kenaikan kos pembinaan rumah tersebut tidak mematahkan semangat kementeriannya untuk berusaha menyediakan rumah serta membaik pulih kediaman veteran ATM.

Dalam pada itu, Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berharap anggota veteran ATM dapat mengemaskini data dan maklumat diri menerusi portal Veteran Integrated Benefit System (Vibes 2.0).

Ini kerana, katanya, data semasa tersebut penting untuk program-program kebajikan, kesihatan pendidikan dan sebagainya kepada veteran ATM.

Sementara itu, balu tentera, Rohana Mohd Idrus, 46, bersyukur apabila menerima sebuah rumah selepas kira-kira tiga tahun menyewa di bandar Pontian.

Rohana merupakan balu kepada Allahyarham Abdullah Pami Bachok yang pernah berkhidmat di Kem Lok Kawi Kota Kinabalu Sabah.

"Suami meninggal dunia akibat kanser usus pada Febuari tahun lepas. Impian arwah suami untuk melihat rumah baharu kami tidak kesempaian.

"Rumah baharu ini akan menjadi kediaman yang lebih selesa untuk saya dan empat orang anak berusia 23 hingga tujuh tahun," katanya.