Penunggang Ducati maut, gagal elak kereta keluar mengejut

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya merempuh kereta di Jalan Tanjung Lumpur dekat Sungai Soi di sini pada Khamis.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya merempuh kereta di Jalan Tanjung Lumpur dekat Sungai Soi di sini pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Seorang peniaga maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Tanjung Lumpur, Sungai Soi di sini pada Khamis.

Dalam nahas kira-kira jam 9 malam itu, mangsa, Khairul Azhan Mohd Naim, 31, beralamat dari Jalan Permatang Lembing, Alor Ara, Pekan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu kereta, wanita berusia 27 tahun yang juga pengurus sebuah restoran makanan segera di sini cedera di rusuk kanan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Ducati Panigale V4 S dalam perjalanan dari arah bandar Kuantan menghala ke Pekan.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa gagal mengelak kereta jenis Perodua Myvi dipandu pengurus restoran makanan segera itu yang dipercayai keluar simpang secara mengejut.

Keadaan kereta remuk akibat kemalangan di Jalan Tanjung Lumpur dekat Sungai Soi, Kuantan pada Khamis.
Keadaan kereta remuk akibat kemalangan di Jalan Tanjung Lumpur dekat Sungai Soi, Kuantan pada Khamis.

"Motosikal mangsa merempuh bahagian pintu kereta itu sebelum tercampak dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.