Hapuskan monopoli elak isu ketirisan terus berleluasa

Monopoli oleh pihak tertentu dalam projek kerajaan atau agensi perlu dihapuskan bagi membendung isu ketirisan daripada terus berlaku di negara ini. Gambar hiasan 123RF
Monopoli oleh pihak tertentu dalam projek kerajaan atau agensi perlu dihapuskan bagi membendung isu ketirisan daripada terus berlaku di negara ini. Gambar hiasan 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Monopoli oleh pihak tertentu dalam projek kerajaan atau agensi perlu dihapuskan bagi membendung isu ketirisan daripada terus berlaku di negara ini.

Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim berkata, ketirisan dalam perolehan projek milik kerajaan yang sering dimonopoli pihak tertentu lazimnya mempunyai kaitan rasuah dan salah guna kuasa.

“Penghapusan monopoli dapat menyelesaikan isu ketirisan dan memastikan tata kelola lebih cemerlang kerana kurang birokrasi yang rumit.

“Sekiranya Kerajaan Perpaduan meneruskan kegiatan monopoli khususnya menerusi projek infrastruktur dibimbangi akan menyebabkan kerugian yang menelan kos jutaan ringgit,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.

Pada 12 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar kerajaan memindahkan projek infrastruktur kecil seperti membaiki sekolah daif di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada jabatan lain atau pejabat daerah dilihat lebih telus dan cepat.

Pada masa ini, JKR berperanan melaksanakan projek-projek pembangunan termasuk penyelenggaraan infrastruktur kepada pelbagai kementerian, jabatan, badan berkanun dan kerajaan negeri seperti jalan, bangunan, lapangan terbang, pelabuhan serta jeti.

Dalam pada itu, Zairudin berkata, saranan yang diberikan oleh Perdana Menteri yang memberikan pelepasan kepada jabatan lain bagi melaksanakan sendiri projek infrastruktur kecil dilihat mampu membendung isu ketirisan daripada terus berlaku.

“Kerajaan disarankan melakukan penglibatan bersama dalam membuat perundingan dan penilaian semula berkaitan projek yang bermasalah selain pemeriksaan terhadap pengurusan dana atau geran kerajaan bagi menutup ruang jenayah.

“Tindakan ini merupakan salah satu kesedaran bagi membendung aktiviti rasuah daripada terus berlaku dan melahirkan generasi muda yang holistik termasuk bertanggungjawab, berintegriti serta memiliki jati diri yang tinggi,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!