Kes kenderaan lawan arus menjadi-jadi

Seorang lelaki maut selepas tercampak dari motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya di Kilometer 22.2 Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Ulu Kelang.
Seorang lelaki maut selepas tercampak dari motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya di Kilometer 22.2 Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Ulu Kelang.
A
A
A

SHAH ALAM - Kes memandu secara melawan arus bukan perkara baharu malah bagaikan menjadi trend apabila semakin banyak kemalangan yang dilaporkan berlaku disebabkan sikap pentingkan diri sendiri itu.

Kini video tular membabitkan kereta dan motosikal melawan arus mudah diperoleh di mana-mana media sosial membuktikan tindakan itu semakin menjadi-jadi.

Difahamkan, pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal berbuat demikian kerana ingin cepat sampai dan ada juga menggunakan alasan tersalah jalan.

Pokok pangkalnya, apa jua alasan yang diberikan sudah jelas perbuatan itu salah di sisi undang-undang, ia juga boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain kerana akan mengakibat kemalangan dan kematian.

Pada awal pagi 15 Mei 2023, Polis menahan sepasang suami isteri di Mambau, Seremban selepas memandu kereta secara melawan arus di kilometer 17-19 Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH).

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, rakaman video berdurasi 32 saat berhubung perbuatan mereka itu tular di media sosial Facebook pada 14 Mei 2023 antara jam 5 hingga 6 petang.

"Berdasarkan rakaman video itu menunjukkan kereta tersebut dipandu melawan arus dari arah Teluk Kemang menghala ke Seremban.

"Bertindak atas maklumat, pada jam 2 pagi sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson telah membuat tangkapan terhadap pasangan berkenaan yang terlibat sebagai pemandu dan penumpang, di kediaman mereka," katanya.

Menurut beliau, hasil soal siasat kedua-dua suspek memaklumkan bahawa kenderaan mereka mengalami masalah di bahagian enjin dan tindakan memandu melawan arus itu adalah untuk mencari bengkel bagi membaiki kenderaan tersebut.

Sementara itu, baru-baru ini kes sama telah berlaku pada pada 14 Jun 2023 yang mana seorang lelaki maut selepas tercampak dari motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya di Kilometer 22.2 Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Ulu Kelang.

Mangsa, Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64, yang menunggang motosikal jenis Ducati Panigale melalui jalan berselekoh dipercayai cuba mengelak sebuah motosikal lain yang melawan arus.

Mangsa kemudian melanggar penghadang sebelah kiri jalan, sebelum tercampak dan terjatuh ke bawah jambatan pada ketinggian kira-kira 30 meter.

Masalah ini seolah-olah tiada kesudahan malah hampir setiap bulan berlaku. Jadi, di manakah silapnya?