'Orang menteri' perdaya warga emas ditahan polis

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Polis mengesahkan sudah menahan seorang suspek lelaki warga tempatan terlibat dalam kes menipu warga emas hingga mangsa mengalami kerugian barangan kemas bernilai RM8,100.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, mangsa ditahan di sebuah rumah di Kuala Selangor kira-kira jam 4 petang.

Menurut beliau, suspek berusia lingkungan 30 tahun berjaya ditahan dan polis merampas sebuah kereta jenis Perodua Alza, dua gelang tangan dan tiga bentuk cincin serta sekeping resit pajak gadai atas nama suspek.

"Suspek telah direman mulai Khamis sehingga Ahad ini dan hasil semakan mendapati lelaki itu dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ramli berkata, siasatan lanjut mendapati terdapat tiga laporan polis dibuat terhadap suspek sama sebelum ini.

"Suspek dipercayai menggunakan modus operandi sama bagi memperdaya mangsa.

"Siasatan kes ini dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," tambahnya.

Sina Harian sebelum ini melaporkan, dua ibu tunggal warga emas mendakwa mengalami kerugian lebih RM10,000 selepas diperdaya seorang lelaki yang menyamar sebagai 'orang menteri' pada Jumaat lalu.

Shaidah Hamid, 71, dan rakannya, Saamah Basri, 72, masing-masing menetap di Batu 8, Kampung Asahan di sini didatangi suspek kononnya untuk menguruskan bantuan, bagaimanapun dibawa menaiki sebuah kereta ke Bestari Jaya

Lelaki terbabit mengambil dua gelang tangan dan tiga cincin daripada kedua-dua mangsa yang kemudiannya ditinggalkan di sebuah restoran berhampiran.