Laporan JKD diserah kepada Menteri Pendidikan

Maszlee - Foto Bernama
Maszlee - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKD) telah menyerahkan laporan lengkapnya kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik semalam, demikian menurut Kementerian Pendidikan.

“KPM (Kementerian Pendidikan) akan meneliti secara menyeluruh laporan JKD ini sebelum dibawa untuk perhatian Jemaah Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

JKD ditubuhkan melalui cadangan mesyuarat Jemaah Menteri yang meminta Kementerian Pendidikan mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji semula dasar pendidikan negara, termasuk menambah baik kurikulum dan sistem pendidikan dari peringkat prasekolah sehingga universiti.

Pelantikan anggota JKD dibuat pada 18 Okt tahun lepas dan jawatankuasa itu diberikan tempoh sehingga 30 April untuk menyediakan laporan lengkap.

Menurut Kementerian Pendidikan, JKD telah mengadakan siri pertemuan di seluruh negara melibatkan 3,141 pihak berkepentingan bagi mendapatkan maklum balas dan cadangan untuk menambahbaik sistem pendidikan negara.

"Jawatankuasa itu juga telah menerima 3,378 perakuan daripada pelbagai pertubuhan dan individu," katanya.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan bagi pihak kerajaan merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengerusi JKD, Profesor Emeritus Datuk Dr Ibrahim Ahmad Bajunid dan Timbalan Pengerusi JKD, Dr Madeline Berma serta anggota JKD.

Anggota lain termasuk Profesor Datuk Dr Ab Halim Tamuri; Dr Dzaharudin Mansor; Dr Mohamed Yunus Mohamed; Dr Juli Edo; Yeo Kar Peng; Janet Pillai; Dr Mohd Tazli Azizan; Dr Putri Afzan Maria; Cheryl Fernando, Hasrizal Abdul Jamil dan Professor Dr Abhi Veerakumarasivam.- Bernama

Artikel Berkaitan: