Skim Perubatan Madani ringankan beban rawatan kesihatan B40

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Skim Perubatan Madani yang menawarkan rawatan percuma bermula 15 Jun lepas sangat membantu penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan golongan B40 mengurangkan bebanan kewangan dalam mendapatkan rawatan kesihatan di klinik swasta.

Skim Perubatan Madani merupakan satu inisiatif rintis kerajaan bertujuan untuk menampung keperluan kesihatan golongan B40 terutamanya dalam mendapatkan perkhidmatan penjagaan primer akut atau rawatan pesakit luar kes-kes akut di pengamal perubatan swasta umum (GP) yang berdaftar.

Skim itu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2023 Februari lepas merupakan satu daripada inisiatif kerajaan mengatasi isu kesesakan pesakit di kemudahan kesihatan kerajaan.

Rawatan pesakit luar kes-kes akut percuma yang ditawarkan merangkumi rawatan bagi demam, selesema, cirit-birit, muntah, terseliuh, sakit kepala, trauma ringan dan pelbagai lagi dengan peruntukan sehingga RM250 bagi setiap isi rumah berkeluarga, RM125 bagi warga emas (tanpa pasangan) dan RM75 bagi kategori bujang.

Tinjauan Bernama mendapati orang ramai menyifatkan Skim Perubatan Madani amat membantu mereka mendapatkan rawatan kesihatan dengan segera tanpa perlu bersesak di Klinik Kesihatan (KK) selain meringankan beban dan berharap skim tersebut diteruskan selepas tempoh tamat pada 31 Dis ini.

Di PERAK, seorang warga emas, Maimunah Abd Rahman, 60, melahirkan rasa syukur kerana kerajaan memperkenalkan skim itu yang secara tidak langsung memudahnya mendapat rawatan kesihatan dengan cepat.

"Skim ini dapat mengurangkan waktu menunggu berbanding di Klinik Kesihatan. Kita ketahui Klinik Kesihatan kadangkala sesak.

Di PULAU PINANG, seorang penerima STR, Mohd Syukor Mohd Sulaiman, 38, berkata, skim itu dapat mengurangkan beban kewangan keluarganya.

"Bukanlah saya minta saya, isteri atau tiga anak sakit kerana nak dapatkan bantuan perubatan itu tapi sekurang-kurangnya kami dapat berjimat jika ada ahli keluarga yang tidak sihat dan perlukan rawatan di klinik atau hospital terutama ketika belum gaji.

"Saya kerja di kedai makan dan gaji tidak seberapa... ada anak kecil berusia dua tahun jadi bab sakit atau tidak sihat itu terutama demam dan selesema boleh kata kerap juga, jadi bantuan perubatan itu sudah tentu satu nikmat dan sangat membantu kami sekeluarga," katanya.

Di JOHOR, pesara swasta Mohd Ali Mohd Ekhbal, 58, menyokong usaha kerajaan dalam mewujudkan skim tersebut yang disifatkan berupaya membantu golongan pesara terutama golongan B40.

"Bantuan melalui skim perubatan terbaharu ini bukan sahaja meringankan beban kewangan tetapi pada masa yang sama membantu memendekkan masa menunggu untuk rawatan, cuma saya harapkan dalam masa yang terdekat ia akan dapat diperluas ke daerah yang lain selain Johor Bahru,” katanya.

Di SELANGOR, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Dr Siti Mariah Mahmud berkata, skim berkenaan perlu diberikan penerangan yang lebih jelas kepada rakyat agar mereka mengetahui manfaat serta akses kesihatan yang diterima oleh mereka.

"Skim tersebut bagus dalam memberi solusi untuk penyuraian pesakit luar di KK dan hospital kerajaan yang memerlukan rawatan cepat bagi kes akut antaranya demam, selesema, sakit kepala dan cirit-birit serta secara langsung mengurangkan waktu menunggu pesakit untuk menerima konsultasi daripada doktor,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga tidak mempunyai sebarang masalah untuk memperluas skim tersebut di bawah klinik kendalian anak syarikat namun ia perlu diteliti lebih lanjut kerana Selangor turut menganjurkan skim yang hampir serupa iaitu menerusi Program Iltizam Selangor Sihat dengan setiap penerima berdaftar golongan B40 mendapat RM500 bagi kategori keluarga dan RM250 untuk individu.

Di SARAWAK, pekerja swasta, Dexter McQueen, 42, berkata inisiatif itu juga dapat mengurangkan jumlah pesakit yang menerima rawatan di KK serta mengurangkan bebanan doktor.

"Sekurang-kurangnya doktor di Klinik Kesihatan boleh fokus merawat mereka yang amat memerlukan seperti warga tua dan ibu mengandung serta kes-kes kesihatan yang lebih berat.

"Ini adalah langkah dan usaha yang baik dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan di negara ini secara keseluruhannya,” katanya.

Daerah terlibat program rintis Skim Perubatan Madani ialah Gombak, Hulu Langat, Klang dan Petaling (Selangor), Kuala Lumpur, Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang), Johor Bahru (Johor), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak). - Bernama