Dr Siti Mariah tidak pertahan DUN Seri Serdang

Dr Siti Mariah Mahmud
Dr Siti Mariah Mahmud
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Dr Siti Mariah Mahmud memilih tidak mempertahankan kerusi disandangnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor kali ini.

Siti Mariah dari Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, beliau mahu memberi peluang kepada muka baharu untuk berada dalam pentadbiran negeri.

Menurutnya, keputusan itu juga dibuat bagi membolehkan beliau memberi perhatian kepada kerja kemasyarakatan.

"Penggal ini saya sibuk dengan pelbagai program kerajaan negeri jadi kurang bergaul dengan masyarakat setempat.

"Selepas ini saya berhasrat untuk mendekati warga emas. Isu kesihatan akan jadi topik utama yang akan saya bawa kepada mereka, " katanya seperti dilaporkan Selangor Kini pada Rabu.

Mariah berkata, walaupun tidak bertanding, pihaknya bersedia berkongsi pengalaman dan membantu Amanah bagi PRN.

Pada Isnin, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan DUN Selangor dibubarkan pada 23 Jun bagi memberi laluan kepada PRN.

Mariah merupakan Exco Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita & Keluarga serta pernah menyandang ahli Parlimen Kota Raja antara 2008 hingga 2018.

Beliau menang DUN Seri Serdang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan majoriti 14,363 undi menewaskan Datuk Mohamed Satim Diman (BN) dan Noor Hanim Ismail (Pas).