Pengurus syarikat ditahan simpan minyak masak lebih had

Sebahagian minyak masak yang disita dan dirampas dalam serbuan sebuah premis di Mentakab pada Selasa.
Pix ihsan KPDN
Sebahagian minyak masak yang disita dan dirampas dalam serbuan sebuah premis di Mentakab pada Selasa. Pix ihsan KPDN
A
A
A

TEMERLOH - Seorang pengurus syarikat berusia 41 tahun ditahan selepas menyimpan barang kawalan iaitu minyak masak botol dalam kuantiti yang banyak dan melebihi had kuantiti dibenarkan di dalam lesen di sini pada Selasa.

Penahanan lelaki itu susulan serbuan yang dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Temerloh dalam satu operasi bersepadu di sebuah premis pemborong barang-barang keperluan di Mentakab.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Cawangan Temerloh, Abdul Razak Yahaya berkata, sebanyak 37,774 kilogram minyak masak telah disita dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM241,063.10.

"Lelaki itu ditahan bagi siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan kes disiasat di bawah Subperaturan 9(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.