Ronaldo tak pernah tak padu

Ronaldo
Ronaldo
A
A
A

GOL penghujung perlawanan Cristiano Ronaldo membolehkan Portugal meneruskan rekod sempurna kempen kumpulan kelayakan Euro 2024 apabila menewaskan Iceland 1-0 di Stadium Laugardalsvollur, Reykjavik pada Rabu.

Jaringan pemain berusia 38 tahun pada minit ke-89 itu juga melebarkan penampilan ke-200 setelah sebelum ini mengatasi pencapaian Bader Al-Mutawa dari Kuwait, yang memegang rekod 196 perlawanan, semasa perlawanan kelayakan Euro 2024 Portugal menentang Liechtenstein pada Mac.

Bagaimanapun Portugal bergelut untuk memecahkan kebuntuan menentang Iceland, namun anak buah Roberto Martinez meningkatkan tekanan apabila Willum Thor Willumsson dilayangkan kad kuning kedua selepas terjahan kasar ke atas pemain gantian Goncalo Inacio pada minit ke-81.

Malah Ronaldo terpaksa menunggu dua minit untuk meraikan gol kemenangan apabila pengadil terlebih dahulu menolak rembatan jarak dekatnya pada minit ke-89 kerana ofsaid, namun jaringan itu diberikan selepas ulangan video bantuan pengadil (VAR) menunjukkan dia berada di bahagian tepi.

Untuk rekod, ia adalah gol ke-123 Ronaldo untuk Portugal, sekali gus memanjangkan rekodnya sebagai penjaring gol antarabangsa sepanjang masa.

Tiga mata diraih di laman lawan menyaksikan Portugal memimpin kumpulan dengan 12 mata, dua mata di hadapan pasukan di tempat kedua, Slovakia, yang menang 1-0 di tempat lawan ke atas Liechtenstein.

Portugal bermula dengan lebih agresif, namun Iceland perlahan-lahan mengawal dan mempunyai dua peluang besar mendahului pada separuh masa pertama menerusi pemain pertahanan Victor Palsson dan pertahanan penuh Hordur Magnusson.

Namun Portugal bertindak balas selepas separuh masa pertama apabila beransur-ansur memasuki permainan, dengan gol Ronaldo memastikan tiga mata buat pasukannya.

“Saya tidak akan berputus asa untuk datang ke sini (ke pasukan kebangsaan Portugal), kerana ia sentiasa menjadi impian semua.

“Mencapai 200 perlawanan antarabangsa bukan untuk sesiapa sahaja, ia menunjukkan rasa cinta yang saya ada untuk negara dan pasukan saya,” katanya di Reykjavik