Usahawan kosmetik, Yayasan Ikhlas ziarah pemuda berat 10kg

Ahmad Iqbal (kanan) bersama Mohd Khairul Ahmad (dua dari kanan) ketika menziarahi Muhammad Hafizuddin di Kampung Lorong Haji Da, di Kuala Terengganu, pada Isnin.
Ahmad Iqbal (kanan) bersama Mohd Khairul Ahmad (dua dari kanan) ketika menziarahi Muhammad Hafizuddin di Kampung Lorong Haji Da, di Kuala Terengganu, pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Penderitaan dialami pemuda yang menghidapi penyakit saraf sehingga berat badannya hanya tinggal 10 kilogram (kg) di Kampung Lorong Haji Da, Batu Buruk, di sini mendapat perhatian usahawan kosmetik, Ahmad Iqbal Zulkefli.

Usahawan kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu memberitahu, beliau segera terbang ke Kuala Terengganu sebaik mendapat tahu keadaan Muhammad Hafizuddin Ismail, 21, yang terlantar sakit hampir lima tahun lalu.

"Saya terpanggil untuk tampil menghulurkan bantuan setakat termampu dan dalam masa yang sama mengajak kita semua untuk sama-sama membantu adik Hafizuddin yang kini diuji kesakitan dan kesempitan hidup.

"Apa yang dialaminya merupakan antara 1,001 kisah duka. Hanya tidur beralaskan tilam yang lusuh dan tinggal di rumah yang sudah uzur, dia juga tidak diminta ditimpa nasib sebegini.

"Alangkah bagus sekiranya kita yang bernasib baik ini dan mengecapi nikmat kehidupan yang ada sama-sama bersatu hati untuk bantu adik ini keluar daripada kepompong kemiskinan dan mendapat rawatan kesihatan yang sewajarnya," ujarnya.

Ahmad Iqbal ditemui ketika menziarahi kediaman Muhammad Hafizuddin bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Yayasan Ikhlas di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Pengurus Yayasan Ikhlas cawangan Johor Bahru, Mohd Khairul Ahmad Noordin.

Pada pertemuan itu, Ahmad Iqbal turut menyampaikan sumbangan peribadi yang dirahsiakan jumlahnya sementara Yayasan Ikhlas memberikan bantuan susu dan lampin pakai buang secara berkala di samping katil, tilam dan bantal untuk keselesaan Muhammad Hafizuddin.

"Secara jujurnya, saya mempunyai kekangan masa, mujurlah ada ruang bertemu dengan pihak Yayasan Ikhlas yang tidak berlengah dan segera membantu dalam menyalurkan bantuan kepada adik ini.

"Bantuan secara berkala ini akan terus disalurkan dan pihak persatuan juga akan mengikuti perkembangan kesihatan Muhammad Hafizuddin sehingga mendapat berat badan yang ideal," katanya.

Sinar Harian pada Ahad menyiarkan kisah mengenai Muhammad Hafizuddin yang menderita penyakit saraf sehingga tumbesarannya terbantut menyebabkan saiz badannya hanya sebesar kanak-kanak berusia tiga tahun.

Lelaki itu kini dijaga ayahnya, Ismail Wahab, 63, yang merupakan pesara Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) selepas ibunya, Khatijah Muhammad, 50-an, meninggal dunia akibat kanser payu dara empat tahun lalu.

Ismail menyara hidup dengan bergantung sepenuhnya wang pencen sebanyak RM1,800 sebulan serta bantuan RM300 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bagaimanapun, kehidupan mereka sekali lagi diuji apabila Ismail hilang punca pendapatan dan kini terpaksa membayar hutang berjumlah RM50,000.

Menurut Ismail, duit pencen yang diterima terpaksa digunakan untuk melunaskan pinjaman bank yang dibuat ketika ingin membuka kedai makan selepas bersara empat tahun lalu.

Jelasnya, perniagaan itu tidak sempat berkembang maju malah terpaksa ditutup akibat penularan pandemik Covid-19 ketika itu.

"Disebabkan banyak kekangan, saya tak mampu memberikan rawatan khas untuk anak bongsu saya ini kerana memerlukan perbelanjaan yang besar.

"Secara kasar anggaran kos yang perlu ditanggung meliputi penjagaan makan, minum serta bil api dan air mencecah RM2,000 sebulan," katanya.

Mereka yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi talian 019-611 5954 atau menghubungi Ismail di talian 010-9885731 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 5628 3463 6228 (Bantu Hafiz).

Selain itu, sumbangan juga boleh disalurkan secara dalam talian dengan melayari laman web bantuhafiz.com.