Tarikh pendaftaran peperiksaan SPM calon persendirian dilanjutkan

KPM melanjutkan tarikh pendaftaran peperiksaan SPM Tahun 2023 bagi calon persendirian sehingga 6 petang 30 Jun ini. - Gambar hiasan
KPM melanjutkan tarikh pendaftaran peperiksaan SPM Tahun 2023 bagi calon persendirian sehingga 6 petang 30 Jun ini. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melanjutkan tarikh pendaftaran peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) Tahun 2023 bagi calon persendirian sehingga 6 petang 30 Jun ini.

KPM dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, keputusan pelanjutan tarikh tersebut adalah selaras dengan teras keempat Nadi Keunggulan kementerian yang memberi perhatian terhadap isu keciciran pendidikan selain hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar peluang kedua diberikan kepada hampir 30,000 calon SPM tahun lalu yang tidak hadir untuk menduduki peperiksaan SPM.

"Pendaftaran peperiksaan SPM Tahun 2023 dilaksanakan secara dalam talian melalui aplikasi Sistem Pengurusan Peperiksaan Atas Talian (SPPAT) di pautan sppat.moe.gov.my," kata kenyataan itu.

Calon perlu mematuhi syarat-syarat pendaftaran yang telah ditetapkan serta perlu membuat bayaran asas dan bayaran mata pelajaran yang hendak didaftarkan.

Permohonan pendaftaran peperiksaan calon lepasan SPM Tahun 2022 adalah dikecualikan daripada fi bayaran lewat daftar, manakala pendaftaran peperiksaan bagi calon persendirian selain calon lepasan SPM Tahun 2022 masih tertakluk kepada syarat-syarat pendaftaran sedia ada.

"Maklumat lanjut berkaitan pendaftaran peperiksaan SPM Tahun 2023 bagi calon persendirian boleh diperoleh daripada laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP) di pautan lp.moe.gov.my," menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, KPM sentiasa prihatin dengan masa depan anak-anak bakal peneraju negara dan berharap agar calon-calon lepasan peperiksaan SPM Tahun 2022 menggunakan sepenuhnya peluang yang diberikan untuk menduduki dan memperbaiki keputusan peperiksaan SPM masing-masing.

Sebelum ini, tarikh pendaftaran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2023 bagi calon persendirian telah tamat pada 16 Jun lalu.