PPZ-MAIWP sasar kutipan zakat RM110 juta

Ahmad Shukri (kanan) pada sidang media Ibadah Zakat Pelengkap Ramadan di bangunan PPZ-MAIWP Taman Shamelin Perkasa, hari ini.
Ahmad Shukri (kanan) pada sidang media Ibadah Zakat Pelengkap Ramadan di bangunan PPZ-MAIWP Taman Shamelin Perkasa, hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyasarkan kutipan RM110 juta bagi kutipan zakat fitrah dan harta sepanjang Ramadan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, kutipan itu meningkat 15 peratus melibatkan pembayar seramai 126,200 orang berbanding 109,739 orang tahun lalu.

Menurutnya, RM2 juta daripada jumlah itu adalah daripada zakat fitrah dengan kaedah pembayaran di kaunter (RM1 juta) dan portal (RM1 juta).

"Bertepatan dengan tema Ibadah Zakat Pelengkap Ramadan, PPZ-MAIWP menggalakkan orang ramai berzakat dengan memudahkan urusan pembayaran di sepuluh kaunter beroperasi 8.15 pagi hingga 4.30 petang dan melalui portal www.zakat.com.my.

"PPZ-MAIWP yakin kutipan RM1 juta melalui pembayaran di portal dapat dicapai dengan usaha hebahan dan promosi secara besar-besaran dilakukan kali ini.

"Tahun lepas RM180,000 zakat fitrah dikutip melalui pembayaran di portal," katanya pada sidang media di bangunan PPZ-MAIWP Taman Shamelin Perkasa hari ini.

Ahmad Shukri berkata, cenderahati berupa sampul raya dan kit Ramadan serta serunding produk asnaf turut disediakan bermula 1 Ramadan selagi stok masih ada.

Katanya lagi, sebagai mengimarahkan lagi bulan Ramadan, PPZ-MAIWP bakal bersiaran langsung dalam empat slot santai di Facebook Live selama 30 minit setiap Jumaat sepanjang Ramadan.

Artikel Berkaitan:

"Antara topik yang akan dibicarakan mengenai persoalan kutipan dan agihan zakat serta pengisian kerohanian bersama tetamu jemputan.

"Ikuti siaran langsung itu di Facebook PPZ-MAIWP. Ia adalah salah satu platfom kepada umat Islam menambah ilmu agama di bulan Ramadan," katanya.

Dalam perkembangan lain, PPZ-MAIWP turut melakukan penjenamaan semula Skim Potongan Gaji (Skim Thohir) kepada Skim Potongan Zakat Bulanan.

"Skim Thohir sudah lapan tahun digunakan dan sudah tiba masanya penjenamaan semula dilakukan untuk terus relevan dan dekat dengan pembayar zakat," katanya.