Jejas periuk nasi kontraktor bumiputera

Rizam (depan, empat dari kiri) bersama rombongannya bergambar bersama salah seorang penduduk pada Program Ziarah Kasih DUN Sungai Air Tawar di sini.
Rizam (depan, empat dari kiri) bersama rombongannya bergambar bersama salah seorang penduduk pada Program Ziarah Kasih DUN Sungai Air Tawar di sini.
A
A
A

SABAK BERNAM - Kerajaan diminta mengkaji semula tender terbuka dalam perolehan kerajaan kerana perlaksanaan itu menjejaskan periuk nasi kontraktor bumiputera.

Ketua Pemuda UMNO Selangor, Rizam Ismail berkata, kuota kontraktor bumiputera seharusnya dikekalkan kerana terbukti selama ini mereka berkeupayaan melaksanakan projek kerajaan.

"Malah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa menjadi perdana menteri keempat ketika itu mewujudkan kontraktor kelas F bertujuan membantu golongan bumiputra.

"Kenapa ketika menjadi perdana menteri pada waktu ini, kerajaan hendak mewujudkan tender terbuka?," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Ziarah Kasih DUN Sungai Air Tawar di sini.

Rizam berkata, kerajaan perlu mengadakan perjumpaan bersama seluruh kontraktor bumiputera bagi mendengar pandangan dan keluhan yang mereka hadapi pada masa sekarang.

"Kita tengok hari ini, ramai anak Melayu yang jadi kontraktor pun dah banyak berjaya dan meningkatkan taraf kehidupan masing-masing," katanya.

Malah, katanya, beliau sendiri sering mendengar keluhan dalam kalangan kontraktor bumiputera yang terpaksa bersaing mendapatkan tender kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Kontraktor tertekan dengan kenaikan harga barang, kos binaan di samping persaingan mendapatkan tender begitu sengit apatah lagi dibuka secara terbuka," katanya.

Sebelum ini, Biro Ekonomi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Dr Mohammad Nizam Baharom berkata, tindakan kerajaan PH melaksanakan tender terbuka dalam perolehan kerajaan dilihat seperti secara senyap-senyap menutup satu daripada cabang bantuan diberikan kepada kontraktor bumiputera.

Katanya, hal itu kerana kedudukan ekonomi bumiputera ketika ini masih lagi tertinggal jauh ke belakang khususnya mereka yang menjalankan perniagaan kontraktor.