Aaron, Wooi Yik dedah punca tewas

Aaron (kanan) dan Wooi Yik tekad bangkit pada kejohanan akan datang. - Foto Badminton Photo
Aaron (kanan) dan Wooi Yik tekad bangkit pada kejohanan akan datang. - Foto Badminton Photo
A
A
A

BEREGU lelaki utama negara, Aaron Chia mendedahkan punca dia dan pasangannya, Soh Wooi Yik tewas kepada gandingan Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy dari India dalam aksi final Terbuka Indonesia pada Ahad.

Aaron memberitahu, sikap gopoh dan tidak tenang ketika beraksi menjadi punca mereka gagal mengatasi cabaran pasangan lawan.

Beliau meluahkan rasa kecewa dengan kegagalan itu sambil mahu menjadikan kesilapan itu sebagai satu perkara positif yang perlu diperbaiki dalam saingan akan datang.

"Kami bermain agak gopoh dan tidak cukup tenang terutama di set pertama apabila pemain lawan mula mengejar.

"Semasa kami berada di depan, mereka berjaya mengutip enam mata secara berturut-turut.

"Berasa kecewa kerana kami sudah melangkah ke final, tetapi tidak dapat membawa pulang pingat emas. Bagaimanapun, masih ada sesuatu yang positif boleh diambil dan kami akan cuba lagi," katanya.

Dalam aksi final di Istora Senayan, Jakarta, pasangan nombor tiga dunia itu sekali lagi terlepas gelaran pertama BWF selepas kalah 21-17 dan 21-18 kepada Chirag dan Rankireddy.

Sementara itu, Wooi Yik berazam untuk terus bekerja keras dan enggan mengalah dalam usaha memburu gelaran sulung Jelajah Dunia sejak digandingkan pada 2017.

"Minta maaf kerana tidak dapat bawa pulang pingat emas, namun ini permulaan terbaik untuk kami jadi lebih baik.

"Kami akan terus bekerja keras untuk dapatkan gelaran pertama Jelajah Dunia," ujarnya.

Sebagai naib juara, Aaron-Wooi Yik membawa pulang AS$43,750 (RM201,884), manakala Chirag-Rankireddy membawa pulang AS$92,500 (RM426,841).

Kali terakhir pemain negara muncul juara Terbuka Indonesia adalah menerusi gandingan Mohd Zakry Latif-Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari pada 2008 selepas menumpaskan wakil tuan rumah, Mohammad Ahsan-Bona Septano 21-12, 21-12.