Cadang Ku Li dilantik Pengarah Pilihan Raya PH-BN

Tengku Razaleigh
Tengku Razaleigh
A
A
A

KOTA BHARU - Bekas Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dicadangkan dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya untuk gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Kelantan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, Tengku Razaleigh atau Ku Li merupakan individu tepat untuk mengetuai gerak kerja gabungan itu.

Beliau berpendapat, ketokohan Ku Li diyakini mampu memberi impak kepada Kerajaan Perpaduan untuk memenangi pilihan raya itu.

"Kita akan dapat melihat satu gelombang baharu di negeri ini jika Ku Li dilantik sebagai pengarah pilihan raya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat di Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) pada Isnin.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan memberitahu, Ku Li merupakan ikon politik rakyat Kelantan sejak pemergian Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Wan Abdul Rahim juga yakin Barisan Nasional (BN) masih mempunyai peluang mempertahankan lapan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Jelas beliau, gabungan dalam PH dan BN memberi tumpuan kepada kerusi yang dimenangi oleh BN pada PRU -14 lalu.

"Kita yakin BN Kerajaan Perpaduan mampu menggandakan menjadi 16 kerusi daripada lapan kerusi yang ada," katanya.

Ujarnya, bagaimanapun ia bergantung kepada susunan yang akan dibuat oleh pihak Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

"Saya dimaklumkan sudah 90 peratus pembahagian kerusi antara PH-BN selesai tetapi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama belum diputuskan.

"Keputusan mungkin dibuat oleh pimpinan nasional dalam masa terdekat.

Kata beliau, maklumat yang diterima, Amanah turut memberi tumpuan kepada kawasan Tanjung Mas.