Tambah baik strategi perkukuh ekosistem pelaburan negara

Tengku Zafrul ketika menghadiri Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen, pada Isnin. - Foto Bernama
Tengku Zafrul ketika menghadiri Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sentiasa berusaha untuk menambah baik strategi dan pendekatan bagi memperkukuh ekosistem dan fasilitasi pelaburan negara.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia bagi memastikan pelaburan negara lebih berdaya saing dan kondusif dalam meningkatkan pelaburan langsung domestik (DDI) dan pelaburan langsung asing (FDI) yang berkualiti dan berimpak tinggi.

"Sehubungan itu, MITI menerusi MIDA telah melaksanakan pendekatan berfokus bagi memastikan penggalakan pelaburan asing dan domestik meliputi projek yang berkualiti, bernilai ditambah dan berteknologi tinggi bagi melengkapkan ekosistem serta rantaian bekalan industri yang disasarkan negara,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, pada Isnin.

Tengku Zafrul berkata, bagi tahun 2022, sejumlah RM267.8 bilion pelaburan daripada 4,517 projek yang diluluskan daripada pelbagai sektor ekonomi (sektor utama, perkilangan dan perkhidmatan) di Malaysia dijangka menjana 140,440 peluang pekerjaan dengan pelaburan domestik menyumbang sebanyak RM104.4 bilion (38.9 peratus) kepada jumlah tersebut.

"Bagi suku pertama 2023, Malaysia telah menarik komitmen pelaburan berjumlah RM74.1 bilion, iaitu peningkatan 60 peratus tahun-ke-tahun.

"Paling ketara, nisbah FDI kepada DDI adalah hampir 50:50, iaitu 52.5 peratus bagi FDI dan 47.5 peratus bagi DDI. Ini jelas mencerminkan keyakinan syarikat dan perniagaan tempatan terhadap dasar kerajaan semasa,” katanya.

Setakat 31 Mei, 2023, terdapat 743 projek dalam peringkat rundingan, atau penilaian dengan jumlah cadangan pelaburan sebanyak RM50.6 bilion dengan DDI sebanyak RM8 bilion atau 15.7 peratus manakala FDI sebanyak RM42.7 bilion atau 84.3 peratus.

Jumlah pelaburan tersebut merangkumi projek daripada sektor perkilangan dengan cadangan pelaburan sebanyak RM37.5 bilion yang melibatkan 61 cadangan projek.

Setakat 2 Jun, 2023, MITI melalui MIDA telah berjaya mendapatkan komitmen pelaburan FDI berjumlah RM23.07 bilion melalui misi pelaburan ke Jepun, RM170 bilion melalui misi pelaburan ke China, RM24 bilion melalui misi pelaburan ke Korea Selatan dan RM13 bilion melalui misi pelaburan ke Singapura.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, bagi merangsang pelaburan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), MIDA sebagai agensi penggalak pelaburan utama negara telah menyediakan beberapa program termasuk insentif berbentuk galakan cukai dan geran kepada syarikat domestik.

Insentif tersebut termasuk menyediakan galakan cukai kepada syarikat domestik yang melaksanakan projek yang digalakkan di bawah Akta Penggalakan Pelaburan (PIA) 1986; meningkatkan keupayaan pelabur tempatan melalui Dana Intervensi Industry4WRD bagi PKS; menggalakkan penggunaan automasi dalam kalangan syarikat di sektor perkilangan dan perkhidmatan melalui Elaun Modal Automasi; dan menganjurkan MIDA Invest Series Conference bagi mengenal pasti potensi pelaburan setiap negeri.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator Tan Sri Low Kian Chuan berhubung sasaran DDI bagi tahun 2023 berbanding FDI serta langkah-langkah kerajaan untuk merangsang pelaburan perusahaan bersaiz mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Selain itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan menyambut baik cadangan untuk menetapkan DDI sebagai salah satu petunjuk prestasi utama atau KPI bagi pencapaian pelaburan negara.

"Adalah menjadi dasar kerajaan pada masa ini untuk mengimbangi kedua-dua pelaburan asing dan domestik ini untuk merangsangkan pertumbuhan dan meningkatkan pembangunan kita yang seimbang di seluruh negara.

"MITI melalui MIDA akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan agensi diperingkat persekutuan dan negeri dalam usaha untuk menarik pelaburan domestik khususnya dalam industri yang disasarkan,” katanya menjawab soalan tambahan Low yang ingin mengetahui adakah kerajaan akan menjadikan DDI sebagai KPI. - Bernama