Zambry dijadual bertemu rakan sejawat di The Hague

Zambry Abd Kadir
Zambry Abd Kadir
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Luar Negeri Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dijadual bertemu dengan rakan sejawatnya Timbalan Perdana Menteri Belanda merangkap Menteri Luar Negeri, Wopke Hoekstra dalam lawatan kerja ke The Hague.

Menerusi kenyataan, Zambry berkata, menerusi lawatan sulung selama dua hari bermula Isnin, pelbagai perkara akan dibincangkan terutamanya mengenai hubungan dua hala kedua-dua buah negara.

"Saya juga akan mengadakan perjumpaan dengan beberapa pihak di Belanda dalam usaha meningkatkan kerjasama kedua-dua negara dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pendidikan," katanya.

Beliau berkata, lawatan kerja itu turut memberi peluang untuk menjelaskan mengenai dasar semasa kerajaan di bawah kepimpinan baharu, terutamanya mengenai dasar luar dan usaha menarik pelaburan asing ke Malaysia.

"Lawatan kerja ini diharapkan dapat mengekalkan momentum dan mengeratkan lagi hubungan dua hala yang sedia terjalin antara Malaysia dengan Belanda," ujar beliau.

Belanda merupakan rakan dagangan yang penting buat Malaysia semenjak hubungan diplomatik terjalin pada tahun 1957.

Belanda juga merupakan salah satu negara dalam Kesatuan Eropah yang penting bagi Malaysia dari segi pelaburan, bidang pertanian, pelancongan, kebudayaan, dan banyak lagi.