'Arahan saya jelas' - PM

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - "Arahan saya jelas!" tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap di hadapan lebih 1,000 penjawat awam di Dewan Besar balai Islam Lundang di sini pada Ahad.

Beliau memberitahu, setiap arahan yang diberikan bertujuan untuk kepentingan rakyat yang memerlukan.

"Saya tidak pernah mengarahkan supaya diambil tindakan kepada sesiapa tetapi hanya kepada individu yang terkait dengan masalah sikap.

"Janganlah melakukan kerosakan, merompak kekayaan tetapi kemudian terus mahu mempertahankan sikap dan kelompok berkenaan," katanya sempena Majlis Amanat Khas Perdana Menteri Kepada Penjawat Awam Negeri Kelantan pada Ahad.

Beliau turut menasihatkan penjawat awam supaya tidak melantik keluarga dan kroni serta mengambil komisen sesuka hati tanpa mengikut peraturan.

"Apabila ditangkap, didakwa dan dikenakan tindakan, mereka kata itu semua berkaitan dengan politik," katanya.

Justeru, beliau mahu pimpinan penjawat awam persekutuan dan negeri pelu mengurus negeri dengan amanah.

"Jalankan tanggungjawab dengan berani tanpa mengira pangkat dan darjat sama ada melibatkan Tan Sri atau Datuk Seri," katanya.

Pada pertemuan sama, beliau turut menjelaskan mengenai kenaikan subsidi elektrik kepada golongan T20 bertujuan membantu golongan yang tidak berkemampuan.

"Mulai tahun ini kita batalkan subsidi untuk orang kaya tetapi rakyat tidak terkesan termasuk penjawat awam, petani dan nelayan.

"Saya tidak berhasrat menaikkan apa-apa cukai yang menyentuh kedudukan rakyat tetapi saya terpaksa menaikkan cukai ke atas orang kaya," katanya.

Jelas beliau, pentadbiran Kerajaan Perpaduan harian ini bermula dengan isu tata kelola yang baik dan memikul tanggungjawab tanpa perlu kepada teori moden.