PN tak perlu umum calon MB Selangor - Muhyiddin

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) berpendirian untuk tidak mengumumkan calon Menteri Besar Selangor bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Bagaimanapun, Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara tersebut akan diumumkan pada masa yang bersesuaian.

“Tidak perlu nak umumkan (calon Menteri Besar).

“Pada prinsipnya, dalam senarai, kita kenal pasti ramai tokoh dan capai masa yang sesuai nanti tahu siapa Menteri Besar,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Jentera Pemuda Perikatan Nasional di I-City Convention Centre (ICCC) di sini pada Sabtu.

Muhyiddin berkata demikian ketika ditanya media sama ada Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan menjadi Menteri Besar Selangor sekiranya PN menakluki negeri tersebut.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, Mohamed Azmin belum diumumkan untuk bertanding pada Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor kelak.

"Dia belum umum tanding ke tak tanding," katanya.

Sebelum ini, PN Selangor dilaporkan berkata, mereka tidak menolak kemungkinan mencalonkan Mohamed Azmin sebagai Menteri Besar sekiranya berjaya memenangi PRN di Selangor nanti.

Timbalan Pengarah Jentera Pilihan Raya PN Selangor, Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanafi berkata, peluang sentiasa terbuka kepada bekas Menteri Besar Selangor itu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa untuk kembali memimpin negeri ini.